Sabtu, 10 Jun 2023 | 10:16pm
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu UMNO kembali gagah seperti dulu dan menerajui kepemimpinan negara. - Foto fail NSTP
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu UMNO kembali gagah seperti dulu dan menerajui kepemimpinan negara. - Foto fail NSTP

UMNO jangan jadi penumpang - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: UMNO diingatkan jangan sekadar menjadi penumpang kerana parti itu harus ke depan untuk memimpin dan bukannya dipimpin.

Teguran itu dilontarkan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selepas beliau sendiri hadir untuk meneliti ucapan pembahas pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023.

Beliau berkata, pembahas menzahirkan tekad untuk bangkit kembali berjuang demi agama, bangsa serta tanah air.

"Tekad harus dibulatkan, bukan hanya sekadar menjadi penumpang tetapi perlu bangkit kembali menerajui kepemimpinan negara.

"UMNO perlu menerajui bukannya pelengkap untuk menubuhkan kerajaan.

"Cukuplah memuja dan memuji orang lain kerana UMNO adalah parti yang berpengalaman dan mempunyai asas perjuangan yang amat jelas demi agama, bangsa dan tanah air," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri berkenaan senada dengan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, supaya kepemimpinan sekarang menjemput pemimpin parti yang dipinggirkan sebelum ini.

Ismail Sabri berkata, ini kerana pemimpin terbabit mempunyai pengalaman dan masih ada pengaruh untuk memperkasakan parti.

"Jadi, berhenti mengeluarkan kenyataan yang menyindir dan menyakitkan hati sahabat kita. Semoga UMNO gagah seperti dulu kala," katanya.

Berita Harian X