Sabtu, 10 Jun 2023 | 8:54pm

`Good Luck' buat Zahid - Annuar Musa

SEREMBAN: "Good Luck, suatu kenyataan yang baik," kata Tan Sri Annuar Musa, mengulas tekad Presiden UMNO untuk mempertahankan penguasaan di tiga negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN), akan datang.

Pengerusi Muafakat Nasional (MN) itu berkata, tidak salah bagi seorang Presiden parti menyatakan tekad hendak mempertahankan penguasaan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), akan datang.

Namun, beliau mendakwa, rakyat di tiga-tiga negeri itu juga sudah membuat tekad siapa yang akan mereka pilih pada PRN nanti.

"Tidak salah, beliau membuat kenyataan itu. Di Kelantan pun, (UMNO) berikrar merampas Kelantan selama 30 tahun, tapi tiap kali pilihan raya, kalah juga.

"Jadi, yang ini pun (PRN), insya-Allah akan kalah juga. Namun, pada saya, itu tugas dia (Ahmad Zahid Hamidi) dalam ucapan, kerana itu tempat orang menyedapkan hati masing-masing.

"Saya hormati kerana itu hak dia untuk memberikan keyakinan kepada ahli dia," katanya kepada media selepas Majlis Town Hall MN Peringkat Negeri Sembilan, di sini, lewat petang tadi.

Turut hadir

Timbalan Presiden MN, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Annuar mengulas ucapan Pengerusi BN, merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, yang menegaskan tekad UMNO bersama rakan dalam Kerajaan Perpaduan untuk mempertahankan penguasaan di Pulau Pinang,

Selangor dan Negeri Sembilan dalam PRN akan datang.

Ahmad Zahid juga menegaskan, usaha akan dibuat bagi memecahkan tembok penguasaan pihak lawan di Kedah, Terengganu dan Kelantan, yang kini di bawah penguasaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, Annuar menegaskan, MN akan kekal sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bukan parti politik.

Bekas Ahli Parlimen Ketereh, yang dipecat daripada UMNO itu berkata, MN tidak akan menyertai pilihan raya.

"MN bukan sebuah parti politik. Ia adalah sebuah badan NGO berdaftar di bawah pendaftar pertubuhan secara rasmi dan sah.

"Tidak berbangkit soal MN menyertai pilihan raya. MN diaktifkan untuk menjalankan aktiviti yang selari dengan perlembagaannya," katanya yang memaklumkan MN dalam proses menjelajah seluruh negara bagi menjelaskan mengenai fungsi MN kepada rakyat.

Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa, bersama barisan pimpinan MN pada Majlis Town Hall MN Peringkat Negeri Sembilan, di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini. - Foto NSTP/AZRUL EDHAM
Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa, bersama barisan pimpinan MN pada Majlis Town Hall MN Peringkat Negeri Sembilan, di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini. - Foto NSTP/AZRUL EDHAM
Berita Harian X