KUALA KANGSAR: Kerajaan mempertimbangkan Paras Harga Pengaktifan (PHP) Insentif Pengeluaran Getah (IPG) atau harga lantai getah sekerap dinaikkan lagi daripada RM2.70 kepada RM3 sekilogram, kata Timbalan Pedana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, beberapa perkara berbangkit mengenainya akan dibawa ke Kabinet sebelum dicadangkan dengan Kementerian Kewangan bagi melihat sama ada ia boleh dipertimbangkan mengikut kemampuan sedia ada kerajaan.
Beliau berkata, secara umumnya maklum balas yang diterima oleh Kementerian Perladangan dan Komiditi (KPK) daripada pekebun-kebun kecil getah meminta supaya PHP dinaikkan sekurang-kurangnya kepada RM3 terutamanya disebabkan peningkatan kos input perladangan khususnya baja.
"Dari situlah (kos input perladangan) mereka (pekebun) melihat bahawa untuk balik modal, mereka mengharapkan supaya ianya (PHP) adalah RM3.
"Jadi saya akan bawa balik kepada peringkat kerajaan, Kabinet dan akan mencadangkan pada Kementerian Kewangan untuk melihat sama ada ianya boleh dipertimbangkan atau tidak, mengikut kepada kemampuan sedia ada kerajaan," katanya dalam sidang akhbar bersempena perasmian program Trek Komoditi 2023 anjuran KPK di lokasi pokok getah pertama di Tanah Melayu di Jalan Tun Razak, di sini, hari ini.
Mengenai Trek Komoditi KPK 2023, ia merupakan medium turun padang Fadillah bersama pihak pengurusan tertinggi KPK menyantuni pekebun kecil dan pemain industri sektor komiditi secara langsung bagi menterjemah komitmen kerajaan menerusi KPK serta agensi di bawahnya.
Ia juga bagi mendapatkan maklum balas secara dua hala.
Rombongan Trek Komoditi sepanjang tiga hari bermula hari ini yang diketuai Fadillah sendiri kemudiannya dijadual bergerak ke Pulau Pinang, Kedah, dan Perlis iaitu membabitkan negeri di zon utara Semenanjung.