KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin atau lebih dikenali KJ akan berjumpa dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu hadapan bagi memberi jawapan muktamad berhubung keputusan menjadi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU.
Terdahulu, Khairy yang bersiaran secara langsung menerusi podcast `Keluar Sekejap' yang dikendalikannya bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, mengesahkan bahawa beliau ada berjumpa dengan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohammad.
Beliau berkata, pertemuan bersama Hishamuddin bukan untuk berkomplot atau membuat langkah tertentu, sebaliknya hanya untuk bertanyakan keadaan masing-masing dan perancangan dalam politik.
"Saya sudah maklumkan kepada Datuk Hisham (Hishammuddin), saya akan berjumpa dengan Tan Sri Muhyiddin minggu depan untuk memberi jawapan muktamad," katanya.
Menjawab soalan Shahril sama ada beliau boleh memberikan pratonton kepada jawapannya, Khairy menjawab: "Biarlah saya simpan dulu."
Semalam, Khairy dan Shahril bersiaran secara langsung di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).
Sebelum ini, Muhyiddin, yang juga Presiden BERSATU mengemukakan tawaran kepada Khairy menjadi Ahli Pimpinan Tinggi BERSATU selepas mendapat persetujuan pimpinan parti yang lain.
Muhyiddin dilaporkan berkata, partinya mempunyai dua kekosongan jawatan berkenaan, tanpa niat 'mengumpan' bekas Ahli Parlimen Rembau itu.
Januari lalu, Khairy dipecat daripada UMNO kerana didakwa bertindak bertentangan dengan kepentingan parti.