SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi institut pengajian tinggi (IPT) pertama negara mewujudkan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi memperkasakan kebajikan atlet yang sebelum ini banyak mengharumkan nama universiti itu.
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPM dalam kenyataannya, berkata seramai 229 atlet UPM menjadi kumpulan pertama layak menerima Nota SKSPS Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Katanya, Akademi Sukan UPM sebagai peneraju dalam usaha sama ini berjaya mengumpulkan atlet yang melanjutkan pengajian masing-masing di UPM untuk mendapat faedah yang disediakan oleh PERKESO, sekaligus menjadi pelan perlindungan terbaik bagi mereka.
"Adanya caruman ini, atlet UPM akan menerima beberapa faedah disediakan PERKESO seperti perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, orang tanggungan, layanan sentiasa, pengurusan mayat, pemulihan jasmani atau vokasional dan pinjaman pendidikan.
"Akademi Sukan UPM juga sentiasa proaktif menghantar atlet-atlet untuk menyertai kejohanan dalam dan luar negara. Dengan adanya pelan ini, ia menjadikan setiap atlet dilindungi dalam pelbagai aspek termasuk kecederaan," katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UPM, Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman, berkata UPM menghargai usaha PERKESO dalam mencari penaja bagi membantu membiayai caruman, khususnya bagi atlet UPM.
Katanya, UPM dipilih menerima tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) melalui PERKESO sebanyak RM69,607. 20 bagi membiayai SKSPS di bawah inisiatif Kumpulan Sasaran SPS Sukan.
"Tempoh perlindungan untuk 229 atlet UPM ini adalah selama setahun yang bermula pada 14 Februari 2023 sehingga 13 Februari tahun depan.
"Justeru, peranan serta inisiatif yang dilaksanakan PERKESO dan YaPEIM dalam menjayakan usaha ini sekaligus membuktikan keprihatinan terhadap perlindungan keselamatan sosial dalam kalangan atlet UPM terbela," katanya.
Ucapan beliau dibacakan Pengarah Akademik Sukan UPM, Prof Madya Dr Tajularipin Sulaiman, pada Majlis Penyerahan Nota Perlindungan SKSPS PERKESO Atlet UPM, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) PERKESO, John Riba Marin dan Timbalan Ketua Pengarah YaPEIM, Awang Musran Tawil.
Pada majlis itu, seramai lapan atlet UPM yang mewakili negara ke pentas Sukan SEA di Kemboja baru-baru ini menerima Nota Perlindungan SKSPS.
Antaranya Nor Asfarina Isahyifiqa Issahidun dan Nurul Faezah Shafiqah Khalim yang mewakili skuad Hoki wanita selain Mughni Mohamad Kamal yang mewakili skuad Hoki lelaki.
Selain itu, Goh Chiao Huey dan Irene Siah Qi Min yang mewakili skuad Bola Tampar Dewan serta Nani Sahirah Maryata dan Muhammad Fakhrulrazi Jailani yang mewakili negara dalam acara Olahraga.