Jumaat, 9 Jun 2023 | 7:44pm
Mahasiswa Universiti Malaya (UM), Ainool Husaini Md Yatim
Mahasiswa Universiti Malaya (UM), Ainool Husaini Md Yatim

`Dapat sikit tanda ingat, banyak tanda sayang'

KUALA LUMPUR: Wakil mahasiswa mencadangkan supaya kerajaan memberikan bantuan kewangan awal semester bagi membantu mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara membiayai kos hidup dan pengajian.

Mahasiswa Universiti Malaya (UM), Ainool Husaini Md Yatim, berkata mahasiswa berdepan masalah kerana pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan biasiswa lain kebanyakannya tidak diterima pada awal semester.

"Perkara ini akan memberi manfaat kepada ratusan ribu penuntut IPT. Bayangkan anak ada penuntut ini, pada awal semester menerima notifikasi ada duit masuk ke akaun mereka.

"Walaupun RM100, jadilah. Dapat sikit, tanda ingat, banyak itu, tanda sayang," katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.

Foto hiasan
Foto hiasan

Ainool Husaini turut mencadangkan supaya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) mewujudkan Zon Rumah Siswa Nasional, yang memberi kemudahan kepada mahasiswa menyewa rumah berdekatan kampus pengajian dengan kadar sewa yang rendah.

Katanya, disebabkan masalah kekurangan penempatan mahasiswa di kampus, mereka terpaksa menyewa penempatan di luar dengan kos yang tinggi.

"Melalui zon ini, yang berada dalam lingkungan lima hingga 10 kilometer (km) dari kampus, Mahasiswa UMNO mencadangkan supaya pemilik rumah diberikan kemudahan pengecualian cukai jika menyewakan rumah mereka kepada mahasiswa.

"Saya yakin, kadar sewa akan menjadi lebih murah dan pemilik cenderung menyewakan rumah mereka kepada mahasiswa," katanya.

Beliau turut mencadangkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menubuhkan institusi kesedaran pendidikan Melayu di kawasan luar bandar bagi menarik lebih ramai anak muda menyambung pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi.

"Institusi ini akan berfungsi sebagai badan pemikir untuk memartabatkan pemikiran bangsa kita mengikut arus semasa.

"Pada masa sama, ia boleh menghantar graduan ke seluruh pelusuk desa untuk diberikan kefahaman kepada masyarakat desa mengenai kepentingan pendidikan," katanya.

Berita Harian X