KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang digantung keahlian dalam parti selama enam tahun meminta UMNO memulihkan status keahliannya itu.
Perkara itu disuarakan Tajudin supaya beliau dapat turun membantu Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi terutama untuk menggempur pesaingan UMNO.
"Saya tahu kelemahan PAS, saya tahu kelemahan BERSATU dan saya juga tahu semua kelemahan Perikatan Nasional (PN).
"Bagilah saya keris. Kalau tak bagi keris macam mana saya nak bantu UMNO pergi berperang?" katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu hadir ke Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang menjadi venue Perhimpunan Agung UMNO (PAU) petang tadi.
Tajuddin yang digantung keahlian parti selama enam tahun hasil keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 30 September tahun lalu, sudah beberapa kali mengemukakan rayuan dan mahu kembali aktif dalam UMNO.
Dalam perkembangan berasingan, Tajuddin mendakwa kemusnahan berlaku kepada UMNO kini disebabkan nasihat diberikan Datuk Seri Ahmad Maslan ketika menjadi Setiausaha Agung parti itu.
Tajuddin berkata, ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU), Ahmad tidak menghiraukan pandangan akar umbi berkaitan dengan isu calon yang diletakkan untuk bertanding dalam pilihan raya itu.
"Dia tidak menjadi penasihat yang betul kepada Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi). Akar umbi dah beritahu kepada parti (berkaitan dengan calon) namun dia (Ahmad) tak nak dengar.
"Orang nak calon tempatan tetapi parti ketika itu hantar calon luar, jadi berlaku pemberontakan akar umbi dan memilih calon lawan sebagai protes, siapa yang rugi," katanya.
UMNO pada PRU15 mencapai rekod terburuknya apabila hanya memenangi 26 kerusi dan kebanyakan kerusinya tewas kepada calon dari Perikatan Nasional (PN).
Sementara itu, ketika ditanya mengenai sama ada pihaknya ada menandatangani proklamasi Melayu yang digerakkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tajuddin berkata ia bukanlah satu perkara baharu dan pihaknya terlebih dahulu melakukannya.
"Saya dah buat dulu, saya kumpulkan lebih 50,000 orang Melayu di Pasir Salak. Malah Presiden PAS (Tan Sri Hadi Awang) di pentas hadapan rumah saya memberikan ucapan kepada semua," katanya.
Tambahnya, namun perkara itu tidak dapat kekal lama kerana UMNO dan PAS gagal memelihara perpaduan Melayu.