Jumaat, 9 Jun 2023 | 7:01pm
Mohammad Sollehin Mohamad Tajie.
Mohammad Sollehin Mohamad Tajie.

PAU 2023: UMNO tak boleh lagi dilihat sebagai parti nostalgia

KUALA LUMPUR: Dalam mendepani persekitaran politik baharu, UMNO tidak boleh lagi dilihat sebagai parti nostalgia.

Perwakilan UMNO Perak, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie, berkata UMNO perlu dilihat lebih segar dan perlu penjenamaan semula.

"UMNO perlu dilihat sebagai parti masa hadapan," katanya membahaskan usul ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya, kerjasama politik dijalin UMNO dan DAP ketika ini bukan perkara baharu kerana UMNO pernah menerima parti yang turut dilabel cauvinis pada 1973.

Mohammad Sollehin berkata, UMNO pernah menerima GERAKAN ke dalam Barisan Nasional (BN), kira-kira 50 tahun lalu ketika ia berdepan krisis dalaman, selain tragedi hitam 13 Mei 1969.

Katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, pada zaman kepemimpinan Tun Abdul Razak Husein, UMNO menghadapi krisis yang besar.

"Kita hadapi peristiwa 13 Mei 1969. Ketika itu, parti yang tidak bersama UMNO mula menunjukkan taringnya. Apa yang Tun Razak buat, beliau bina pelan jangka panjang untuk Bumiputera.

"Maka, diwujudkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), MARA dan kongres ekonomi Bumiputera. Lebih penting, ketika itu wujud BN. GERAKAN yang lebih cauvinis jadi sebahagian daripada kita.

"Sejarah sudah menunjukkan kita dapat berubah daripada politik konfrontasi menjadi akomodasi (dapat menyesuaikan)," katanya.

Sebelum ini, keputusan UMNO untuk bekerjasama dengan DAP mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan sesetengah ahli dan kelmarin, Pemuda UMNO menuntut DAP memohon maaf atas segala tohmahan yang mereka pernah lemparkan.

Mohammad turut memberi contoh dinamik politik baharu seperti yang berlaku di Perak selepas pilihan raya umum (PRU) tahun lalu.

"Ketika di pusat (pembentukan kerajaan Persekutuan) bertelagah, kami di Perak, tiga hari sahaja, Menteri Besar sudah angkat sumpah," katanya.

Berita Harian X