KUALA LUMPUR: Meskipun digantung keahlian selama enam tahun oleh UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, tetap hadir ke Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang menjadi venue penganjuran Persidangan Agung UMNO (PAU) 2023 hari ini.
Kehadiran bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu bukan untuk menghadiri persidangan UMNO, sebaliknya bertujuan untuk berjumpa dan mengucapkan tahniah kepada Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, yang disifatkannya sebagai seorang pemimpin yang lantang dan berani.
Malah, Tajuddin tanmpa segan silu mengakui bahawa hanya Muhamad Akmal sahaja yang dilihat berani untuk menyuarakan isu dikemukakan akar umbi.
Beliau sendiri turut menyuarakan keyakinan terhadap harapan untuk parti Melayu itu berubah dan kembali bangkit sekiranya Ketua Pemuda UMNO itu konsisten dengan pendiriannya dan tidak hanya mendengar atau mengikut telunjuk suara kepemimpinan parti.
"Kalau tengok sekarang ni, semua tak berani nak bercakap dan semua seperti dah kena penampar bisu...yang berani sekarang ni saya lihat hanya Ketua Pemuda (Muhammad Akmal), bukannya seperti Asyraf (Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki) ketika menjadi ketua pemuda).
"Jadi Dr Muhamad Akmal ini beri harapan kepada kita, kalau macam ni dia punya konsisten ada harapan UMNO diwarisi oleh mereka yang mampu bangkitkan UMNO.
"Saya datang hari ini pun untuk mengucapkan tahniah kepada dia (Dr Muhamad Akmal). Inilah jenis orang Pemuda," katanya ketika ditemui di WTC.
Sebelum ini Dr Muhamad Akmal memaklumkan pihaknya tidak menjemput mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan ke Perhimpunan Pemuda UMNO sempena PAU 2023.
Dr Muhamad Akmal berkata keputusan itu diambil secara bersama oleh semua barisan EXCO dan Ketua Pemuda UMNO negeri.
Semalam, Muhammad Akmal ketika menyampaikan ucapan beliau mendesak DAP memohon maaf secara terbuka kepada UMNO atas semua kata-kata dan tohmahan yang pernah dilemparkan sehingga mengguris hati semua ahli parti itu hingga kini.
Beliau berkata, jika DAP boleh membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum ini, mengapa tidak kepada UMNO.
Ditanya mengenai desakan Pemuda UMNO supaya DAP memohon maaf itu, Tajuddin berkata itu adalah perkara yang perlu dilakukan parti berkenaan selain meminta mereka untuk mengisytiharkan tidak lagi memperjuangkan 'Malaysian Malaysia'.
"Saya dah 50 tahun dalam politik, saya tahu apa yang DAP lakukan. Sekarang ni kalau nak berbaik, okaylah tapi mereka kena buktikan keikhlasan itu dengan isytiharkan mengenai Malaysian Malaysia.
"Kedua, mereka kena pertahankan hak istimewa orang Melayu. Kita tidak mahu mereka hanya cakap mulut sahaja, tetapi tiada perbuatan. Mereka kena buktikan betul-betul mahu bersama UMNO dan Barisan Nasional.
"UMNO juga boleh sokong perjuangan DAP namun yang tidak bertentangan dengan perjuangan parti," katanya.
Tambahnya, perjuangan bersama dengan DAP ini bukanlah satu perkara baharu kerana sebelum ini dirinya menjadi salah seorang yang mencadangkan kerjasama antara BN, UMNO, DAP dan Amanah.
Pada ketika itu, Tajuddin berkata pihaknya bertemu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Anthony Loke.
"Pada ketika itu saya kata kita boleh bekerjasama, tetapi dengan syarat DAP kena tukar dan berkorban, pada dasarnya hentikan dan jangan bantah atau canggah apa yang orang Melayu perjuangkan iaitu berkaitan agama dan rajanya dan mereka bersetuju.
"Ini kerana sejarah tidak boleh melupakan, apa yang mereka sudah lakukan, Kalau betul tunjukkan," katanya.