Jumaat, 9 Jun 2023 | 6:16pm
Datuk Mohd Zaidi Said. - NSTP
Datuk Mohd Zaidi Said. - NSTP

'UMNO perlu ubah strategi, mula menyerang dan bukan lagi jadi mangsa'

KUALA LUMPUR: UMNO dilihat masih mengamalkan politik lama, dengan lebih banyak mengendalikan sentimen untuk menjawab dakwaan pembangkang, berbanding 'menyerang' mereka.

Justeru, Ketua UMNO Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Said, mengingatkan bahawa politik UMNO perlu berubah bagi mengelakkan parti itu dan pemimpinnya terus diserang, sehingga menyebabkan rakyat terpengaruh.

"Politik itu adalah mengeluarkan hujah dan mengendalikan sentimen, tetapi saya tengok kita sekarang setiap hari bercakap mengendalikan sentimen, termasuk di media sosial kita. Setiap hari kita menjawab sedangkan mereka (pembangkang) mengeluarkan hujah untuk kita.

"Nampaknya kita kadang-kadang tidak ada koordinator (untuk menguruskan strategi). Kalau kita tengok bagaimana mereka serang Presiden kita (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), mereka seolah-olah ada koordinator.

"Serangan disusun dengan baik sehingga rakyat terpedaya tapi kita tiada koordinator. Hari ini jawab itu, esok jawab ini. Kita masih lagi dengan politik lama.

"Politik kita kena berubah. Sampai bila kita ingin menjawab? Kita perlu keluarkan hujah supaya mereka yang mengendalikan sentimen itu," katanya ketika menyokong usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Selain itu, Mohd Zaidi berkata, sepanjang 60 tahun memerintah negara, UMNO terlalu sibuk menerapkan nilai kasih sayang dan kemakmuran sehingga terlupa untuk menjadikan ahlinya sanggup syahid untuk parti, seperti PAS.

"Kita tidak pernah cakap untuk orang sanggup mati kerana parti. Kita tidak menanam doktrin itu, akhirnya UMNO dihukum rakyat dan segala jasanya tidak dikenang kerana parti lain mengambil kesempatan untuk menanam doktrin yang sangat kuat dalam parti mereka," katanya.

Mohd Zaidi mendakwa, kelancangan PAS atas nama agama sering dilihat terhormat dan penyokong mereka menerima apa saja yang diucapkan pemimpin parti itu termasuk oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

"Mereka seronok Menteri Besar cakap macam itu, tapi cuba Presiden kita cakap begitu, mesti mereka kata pemimpin UMNO tidak bermoral. Sebab apa? Sebab mereka menunggang agama.

"Apa yang mereka paparkan itu menjadikan mereka baik sedangkan mulut mereka lancang. Itu PAS," katanya.

Berita Harian X