Jumaat, 9 Jun 2023 | 6:15pm
Nornabiha Bibi Abdul Shariff (kiri) dan Nornabilah Bibi Abdul Shariff (kanan) bersama ibunya, Norsalina Abae di SMK Padang Saujana, Jerantut, ketika menerima keputusan SPM, semalam. - Foto ihsan keluarga
Nornabiha Bibi Abdul Shariff (kiri) dan Nornabilah Bibi Abdul Shariff (kanan) bersama ibunya, Norsalina Abae di SMK Padang Saujana, Jerantut, ketika menerima keputusan SPM, semalam. - Foto ihsan keluarga

Pasangan kembar anak bekas tukang kasut dapat 8A

JERANTUT: Anak kembar kepada bekas tukang kasut di sini, berjaya meraih keputusan 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan kelmarin.

Selain sokongan bapa, Abdul Shariff Jamaludin, 55, dan ibu, Norsalina Abae, 49, yang mengambil upah menjaga anak jiran di rumah, kejayaan pasangan kembar, Nornabiha Bibi dan Nornabilah Bibi, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Saujana di sini, turut didorong empat kakaknya yang berjaya ke universiti.

Abdul Shariff berkata, anak kembarnya itu mengamalkan disiplin diri yang kuat terutama ketika di rumah dan cuti sekolah dengan menyediakan jadual peribadi.

Beliau berkata, walaupun kedua-dua anaknya itu kerap membantu ibu mereka menjaga kanak-kanak di rumah, namun ia tidak menjejaskan jadual ulang kaji yang sudah dibuat.

"Mereka menumpukan perhatian ketika dalam kelas, melakukan latihan setiap hari dan sering berdoa.

"Bagi meringankan beban isteri yang mengambil upah menjaga anak orang di rumah, pasangan kembar itu turut membantu ibunya apabila perlu," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Abdul Shariff yang bekerja tukang kasut di bandar ini, terpaksa berhenti atas faktor kesihatan selepas jari kakinya dipotong, manakala Norsalina pula mengambil upah menjaga anak di rumah bagi menampung perbelanjaan harian.

"Anak sulung saya, Nurshahirah lepasan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Nurshafiqah, 27, dan Nurshahidah,23, masing-masing lepasan Kolej Universiti Pengajian Tinggi Mara (KUPTM) dan Nurshalinda, 21, masih menuntut di Universiti Utara Malaysia (UUM)," katanya.

Katanya, kedua-dua anak kembarnya ini tidak menjadikan kekurangan keluarga mereka sebagai halangan untuk berjaya.

Sementara itu, Nornabilah Bibi berkata, kejayaan diperoleh ini sebagai permulaan untuk membahagiakan ibu bapa mereka.

"Kami berhasrat melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan atau luar negara dalam bidang pendidikan dan mahu membalas jasa guru dengan berkhidmat semula kepada anak bangsa dan negara," katanya.

Berita Harian X