Jumaat, 9 Jun 2023 | 6:12pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

PAU 2023 tetapkan perjalanan perjuangan UMNO

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, menyifatkan Persidangan Agung UMNO tahun ini penting bagi perjalanan perjuangan parti berkenaan.

Beliau berkata, penganjuran acara kemuncak UMNO itu memberi peluang parti mengukuhkan solidariti dan prinsip, selain membina momentum untuk mara ke hadapan.

Justeru, beliau, yang juga Ketua UMNO Pengerang berharap, semua ahli dapat bersatu, berani menghadapi cabaran dan terus berjuang demi kejayaan parti itu dan kepentingan rakyat.

"Dalam perjalanan panjang perjuangan politik sejak 2004, saya bersyukur dapat menghadiri satu lagi Perhimpunan Agung UMNO, tahun ini.

"Sepanjang perjalanan ini, saya menyaksikan banyak perubahan, tantangan dan kemenangan dalam mempertahankan prinsip yang termeterai dalam perlembagaan parti. Saya sebagai ahli sudah memperjuangkan prinsip dihormati dan dipertahankan UMNO.

"Menjunjung tinggi keadilan, kebebasan dan kepentingan rakyat adalah komitmen utama saya sejak awal melangkah dalam perjuangan ini," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mengulas pelantikannya sebagai Ketua Penerangan UMNO, Azalina mengakui, tanggungjawab yang dipikulnya semakin berat, namun sentiasa bersedia berkhidmat dan menyampaikan mesej penting mengenai prinsip dan hasrat parti kepada rakyat melalui perwakilan dan libat urus.

Beliau komited untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai penghubung antara parti dan masyarakat, termasuk menerusi penganjuran julung kali sesi townhall membabitkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, bersama semua ketua penerangan dari seluruh negara.

"Saya ulangi seruan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO tetap mempertahankan empat perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, terutama kedudukan Islam, Bumiputera dan institusi Raja Melayu.

"Perlembagaan UMNO pula sentiasa menjadi panduan utama dalam perjuangan ini. Ia adalah sumber kekuatan dan pegangan yang memberi arah kepada setiap tindakan dan keputusan yang kita ambil," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Transformasi Institusi) itu juga berterima kasih kepada Ahmad Zahid kerana menghargai usaha beliau dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, pada ucapan dasar Presiden UMNO itu pada Persidangan Agung parti berkenaan.

Penghargaan itu susulan kejayaan Sekretariat Sulu mengetepikan tuntutan individu mendakwa waris Sulu di Mahkamah Rayuan Paris, membabitkan dana bernilai AS$15 bilion (RM69.19 bilion).

Berita Harian X