KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menambah baik sistem kebankrapan dan Akta Insolvensi (Akta 360) bagi membantu masyarakat dibelenggu hutang dan dibebankan lagi apabila semua aset dibekukan serta dikawal selia oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI).
Wakil UMNO Melaka, Fairul Nizam Roslan, berkata cadangan itu membabitkan pertimbangan penetapan had masa bagi pemfailan borang bukti hutang oleh pemiutang berdasarkan Seksyen 42 dan Jadual C Akta 360.
Langkah berkenaan, katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, bagi mengelakkan isu kelewatan pemfailan yang boleh menyukarkan pelepasan individu bankrap.
Beliau juga menyarankan kerajaan membuat penambahbaikan kepada peruntukan pelepasan automatik mengikut Seksyen 33C Akta 360 supaya individu bankrap boleh dilepaskan daripada kebankrapan dalam tempoh yang singkat.
"Kerajaan juga perlu melihat cadangan untuk membolehkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) jarak jauh dalam pentadbiran kes kebankrapan bagi memudahkan urusan pelanggan, pemegang taruh dan jabatan berkaitan," katanya.
Ketua Penerangan UMNO Melaka itu berkata, penambahbaikan termasuk jenis peralatan kerja yang boleh dikecualikan daripada dibahagikan kepada pemiutang mengikut Seksyen 48(1)(a)(ii) Akta 360 yang perlu diselaraskan dengan keadaan ekonomi dan kos sara hidup semasa.
Selain itu, katanya, menyelaras nilai ambang bagi pentadbiran kes kebankrapan kecil mengikut Seksyen 106 Akta 360 dan had gaji 'wage-earner' mengikut Seksyen 107 Akta 360 dengan keadaan ekonomi dan dasar gaji minimum.
"Pindaan kepada undang-undang sedia ada akan membolehkan sekurang-kurangnya 130,000 individu daripada 260,000 kes bankrap mendapat pelepasan kebankrapan mereka," katanya.
Beliau turut menggesa MARA memberi peluang kedua kepada peminjam berstatus bankrap, sejajar dengan matlamat penubuhannya untuk membantu Bumiputera, terutama dalam mendapatkan bantuan perniagaan dan pinjaman untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
"Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, peminjam berstatus seperti ini tidak mempunyai keupayaan untuk membayar semula. Sewajarnya peminjam MARA termasuk penjamin yang berstatus bankrap tidak disenarai hitam kerana kekangan yang mereka hadapi.
"Akibat disenarai hitam oleh MARA, ada anak-anak peminjam serta penjamin berstatus bankrap tidak berpeluang melanjutkan pelajaran dengan bantuan MARA, sedangkan keputusan yang diperoleh adalah cemerlang untuk menyambung pelajaran.
"Harus diingat, peminjam berstatus bankrap bukan culas dalam membayar balik pinjaman dan bukan lupa pada tanggungjawab membayar semula, tetapi keterbatasan mereka akibat semua aset dibekukan dan dikawal selia oleh pihak insolvensi," katanya.
Katanya, golongan terbabit tidak mahu tergolong dalam status bankrap, tetapi mereka yang sebilangannya dalam jurusan peofesional mencuba nasib untuk menjalankan perniagaan selaras hasrat kerajaan melahirkan usahawan dalam kalangan graduan.
"Namun disangkakan panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Perniagaan yang dijalankan tidak berjaya sehingga mengakibatkan jatuh muflis. Mereka aset negara, justeru berilah peluang kedua buat mereka dan anak-anak mereka.
"Santunilah mereka, dekati dan selamilah jiwa dan hati mereka. Biasanya mereka yang pernah gagal sarat dengan pengalaman berharga. Permudahkan urusan untuk keluarkan mereka daripada senarai hitam oleh MARA supaya anak-anak mereka diberi peluang sewajarnya," katanya.