Jumaat, 9 Jun 2023 | 5:44pm
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr Muruga Raj Rajathurai
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr Muruga Raj Rajathurai

Tak adil salahkan kerajaan atas lambakan vaksin COVID-19

KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia menegaskan tidak adil untuk menyalahkan kerajaan atas pembaziran yang tinggi terhadap lambakan dos vaksin anti COVID-19.

Presidennya, Dr Muruga Raj Rajathurai, berkata ini berikutan terdapat permintaan tinggi daripada setiap negara bagi memastikan penduduk mereka divaksinasi hingga menimbulkan kebimbangan mengenai bekalan berkenaan.

Katanya, ia adalah perkara normal kerana semua negara berada dalam keadaan terdesak dan semua orang perlu divaksin.

"Kami sudah mencapai peratusan yang tinggi bagi vaksinasi penuh, namun pengambilan untuk vaksin dilihat menurun semasa dan selepas pelancaran dos penggalak pertama.

"Ketika ini juga, kebanyakan sektor ekonomi sudah dibuka dan jumlah jangkitan COVID-19 semakin berkurangan. Jadi, kita tidak boleh menyalahkan kerajaan kerana pengambilan yang rendah dalam dos penggalak.

"Bekalan banyak tetapi ramai yang memilih untuk tidak mendapatkan penggalak walaupun disyorkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan pakar perubatan.

"KKM sudah menjalankan tanggungjawabnya dalam mendidik orang ramai tentang kepentingan penggalak," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bukti vaksinasi penuh juga bukan lagi keperluan untuk perjalanan udara, justeru berkemungkinan peratusan orang yang tidak mahu divaksinasi akan kekal.

"Pada awalnya, permintaan tinggi untuk vaksin pada awal tahun 2021 dan berpandangan kerajaan sudah berjaya mendapatkan vaksin yang lebih daripada mencukupi untuk penduduk.

"Pada masa itu, setiap negara akan menyasarkan 90 hingga 100 peratus kadar pemvaksinan dan penggalak tetapi permintaan untuk vaksin merosot ketika program untuk suntikan penggalak dilancarkan," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau mengakui setiap perbelanjaan dana awam, ketelusan mesti ada tetapi terdapat Perjanjian Tanpa Pendedahan (NDA) antara syarikat farmaseutikal dan kerajaan yang perlu dihormati oleh kerajaan untuk mendapatkan bekalan vaksin.

Ini memandangkan sebarang pelanggaran NDA boleh mengakibatkan tindakan undang-undang.

"Bagaimanapun secara keseluruhannya, kami percaya kerajaan pada masa itu melakukan yang terbaik untuk berunding bagi mendapatkan tawaran terbaik bagi vaksin tetapi kami mungkin tidak mempunyai kuasa tawar-menawar kerana permintaan global yang tinggi.

"Jabatan Peguam Negara (AGC) melakukan peranannya dalam mengenal pasti klausa dalam perjanjian perolehan vaksin Malaysia dengan Pfizer yang didapati tidak memihak kepada kerajaan dan mencadangkan pindaan.

"Ia juga adalah langkah yang baik untuk kerajaan tidak bergantung sepenuhnya kepada satu pembekal vaksin dengan mendapatkan vaksin daripada AstraZeneca dan Sinovac," katanya.

Berita Harian X