Jumaat, 9 Jun 2023 | 5:43pm
Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

Pemberian subsidi kawalan harga ayam, telur diteruskan

PUTRAJAYA: Pemberian subsidi dan kawalan harga ayam serta telur akan diteruskan selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut kenyataan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Perdana Menteri bersetuju dengan cadangan KPKM dan KPDN supaya pemberian subsidi dan kawalan harga ayam dan telur diteruskan mulai awal bulan depan.

"Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira semua aspek termasuk memastikan industri ayam dan telur kekal mampan dan kebajikan rakyat terus terbela," katanya hari ini.

Sebelum ini, mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Februari lalu membuat keputusan untuk meneruskan pemberian subsidi ayam dan telur bermula 1 Januari hingga 30 Jun ini.

Justeru, keputusan untuk meneruskan pemberian subsidi diambil demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara selaras dengan aspirasi Kerajaan Malaysia MADANI.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, sebelum ini mengumumkan bahawa bermula 1 Julai ini, harga ayam dan telur tidak lagi disubsidi, sebaliknya akan diapungkan.

Penamatan itu adalah membolehkan kementerian menilai serta mengawal harga barangan sama ada naik atau turun, berbanding harga siling runcit ketika ini.

Bagi memastikan bekalan ayam dan telur dapat distabilkan selepas subsidi berakhir, kementerian melaksanakan mekanisme bertahap, antaranya memansuhkan sekatan eksport ayam pedaging hidup, ayam bulat, dan keratan ayam sepenuhnya.

Kerajaan juga akan membenarkan import ayam dari negara yang diiktiraf seperti Thailand, China, Brazil dan Denmark, manakala import telur dibenarkan dari Thailand dan Ukraine.

Pada masa ini, harga siling runcit bagi ayam standard di Semenanjung adalah RM9.40 sekilogram, manakala harga siling bagi telur adalah 45 sen bagi gred A, 43 sen bagi gred B dan 41 sen bagi gred C.

Laporan BH hari ini memetik nota penyelidikan MIDF Research yang menjangkakan harga telur berpotensi meningkat dalam masa terdekat berikutan bekalan sumber makanan itu yang terhad di Malaysia.

Penganalisisnya, Genevieve Ng Pei Fen, berkata selain bekalan terhad di peringkat domestik, penularan wabak selesema burung global juga menyebabkan bekalan telur di negara lain berkurangan, sekali gus memungkinkan harga telur import menjadi lebih mahal di negara ini.

Jelas Pei Fein, pada April lalu, harga purata bagi ayam adalah RM10.45 sekilogram, manakala harga telur gred A adalah 47 sen sebiji, gred B (45 sen sebiji) dan gred C (44 sen sebiji).

"Kami percaya bahawa pengapungan harga ayam tidak akan menyebabkan kenaikan mendadak selepas kawalan harga ditamatkan, namun harga telur mungkin meningkat disebabkan bekalan yang terhad di peringkat domestik dan antarabangsa," katanya.

Pei Fen berkata, MIDF Research percaya penamatan kawalan harga ayam dan telur selepas Julai ini akan membolehkan penternak mempunyai lebih banyak fleksibiliti harga untuk memindahkan kos input lebih tinggi kepada pengguna, sekali gus meningkatkan margin keuntungan.

Sementara itu, katanya, penurunan harga hadapan bagi kacang soya sebanyak 1.8 peratus dan jagung (29.4 peratus) berbanding setahun lalu, akan memberikan sedikit kelegaan kepada tekanan kos syarikat penternakan, sekali gus membantu mengimbangi kenaikan kos buruh dan elektrik.

Beliau menambah, perubahan itu juga akan membolehkan kuasa pasaran menentukan harga berdasarkan keadaan bekalan dan permintaan.

Berita Harian X