Jumaat, 9 Jun 2023 | 5:14pm
Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain. - Foto ihsan Facebook UMNO Selangor
Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain. - Foto ihsan Facebook UMNO Selangor

Takutkan Melayu di Selangor dengan DAP tak berasas

[email protected],my

KUALA LUMPUR: Tindakan pembangkang yang cenderung menakutkan orang Melayu di Selangor dengan dominasi DAP di negeri itu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti disifatkan sebagai tidak berasas.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain, sambil mengesahkan

DAP tidak akan menguasai politik Selangor selepas PRN ketika pembangkang terus memainkan isu dan sentimen kononnya satu undi kepada Barisan Nasional (BN) bermakna satu kepada DAP.

Beliau yang menyertai perbahasan mewakili Selangor, berkata rekod penyertaan DAP sejak tiga pilihan raya terdahulu menunjukkan parti itu bertanding dan menang hanya di satu per empat daripada keseluruhan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

"Kenapa mahu takutkan Melayu dengan DAP. Kalau kita tengok jumlah kerusi yang ada (di Selangor), hanya 13 hingga 15 kerusi (DUN) saja (yang DAP menang dalam pilihan raya umum), itu pun jumlah yang mereka (DAP) bertanding atau menang. Tidak lebih dari itu.

"Sedangkan keseluruhan kerusi DUN Selangor adalah 56 kerusi. Jumlah ditandingi DAP, hanya satu per empat. Kalau dia menang semua (kerusi ditandingi) pun, dia masih tak mengatasi jumlah kerusi daripada parti lain.

"Jadi apa yang kita mahu takutkan," katanya ketika berucap sebagai pencadang usul Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau membangkitkan mengenai PAS dan BERSATU yang sebelum ini pernah bersama DAP, malah pernah mengajak ahlinya untuk mengundi lambang roket dalam pilihan raya yang mereka sertai bersama dulu.

"Mereka mengundi DAP atas lambang roket dan puak-puak PAS ini, dia boleh mengundi walaupun DAP guna lambang roket, dalam Pakatan Rakyat mereka menang besar, ketika orang PAS waktu itu disuruh mengundi DAP.

"Kenapa apabila tiba masa kita.. tak boleh. Apa yang dia buat halal, yang kita buat jadi haram," katanya.

Mohd Zaidi juga membidas sikap bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang terus menyerang parti berkenaan ketika bekas pemimpin itu sudah menikmati pelbagai bentuk manfaat dari UMNO sejak 30 tahun.

"Pendirian kami di Selangor.. biarlah Tan Sri Noh nak kata apa, katalah. Sebab dia sakit hati dengan UMNO. Dia sakit hati sebab dia tak dapat jadi calon pada PRU15 dan perkara ini tak perlu dijawab.

"UMNO sudah beri peluang Tan Sri Noh enam penggal. Berapa tahun? 30 tahun. Kalau diikutkan usia pemuda saya masa itu. Ada pemuda sekarang yang masih tadika dia sudah jadi wakil rakyat. Sampai masuk usia pemuda, dia jadi wakil rakyat lagi. (Sudah) 30 tahun, apa lagi nikmat mahu didustakan.

"Kita sokong dia untuk naikkan sebagai wakil rakyat. Sebagai pemimpin UMNO yang duduk atas pentas ini. Sekarang selepas menikmati segala-galanya, dia gunakan harta itu untuk mengkhianati UMNO dan perjuangan UMNO," katanya.

Berita Harian X