Jumaat, 9 Jun 2023 | 4:19pm
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri - Foto fail BERNAMA
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri - Foto fail BERNAMA

Jumlah TASKA tak berdaftar amat membimbangkan - Nancy

PUTRAJAYA: Jumlah Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) tidak berdaftar di negara ini amat membimbangkan kerana ia membabitkan aspek keselamatan kanak-kanak yang dihantar di premis berkenaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata kebimbangan itu disuarakan susulan pihaknya mengenal pasti sebanyak 1,080 TASKA tidak berdaftar di seluruh negara, setakat Disember tahun lalu.

"Setakat ini, sebanyak 3,005 TASKA yang berdaftar di seluruh negara dan kita turut mengesan kewujudan 1,080 TASKA yang belum berdaftar.

"Angka 1,080 itu yang hanya kita tahu, tetapi jumlahnya kemungkinan lebih besar daripada itu. Sebab itu ia memang membimbangkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Konvensyen Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan 2023 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, timbalannya, Aiman Athirah Sabu; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Maziah Che Yusoff dan Presiden Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-Kanak Berdaftar Malaysia (PPBM), Anisa Ahmad.

Nancy berkata, beliau memahami ada operator TASKA yang mahu berdaftar secara sah namun berdepan kekangan termasuk karenah birokrasi membabitkan isu teknikal dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Jadi saya akan cuba membawa isu ini kepada rakan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan untuk memudahcarakan pengusaha TASKA beroperasi secara sah.

"Kita faham dengan syarat yang ditetapkan PBT, namun adalah tidak adil untuk (menyalahkan) PBT kerana syarat yang diletakkan adalah untuk menjamin keselamatan penghuni TASKA berkenaan," katanya.

Beliau berkata, selain membawa isu terbabit kepada menteri berkaitan, kementeriannya akan mengadakan perbincangan di peringkat negeri bersama PBT bagi mencari penyelesaian berhubung perkara terbabit.

Dalam pada itu, Nancy berkata, kementeriannya merancang untuk mewujudkan pangkalan data pengusaha TASKA di seluruh negara bagi memudahkan ibu bapa mendapatkan perkhidmatan pusat asuhan berkenaan.

Katanya, kewujudan pangkalan data secara berpusat itu berupaya menyalurkan maklumat dan membantu ibu bapa sebelum TASKA bersesuaian sebelum menghantar anak mereka.

"Itu masih dalam perancangan dan ia lebih kepada data pengasuh sebab sebelum ini kita masih belum ada data berpusat dan sebelum ini ibu bapa hanya menghantar anak mereka berdasarkan maklumat `dari mulut ke mulut'.

"Jadi ini masih dalam perancangan dan ia memerlukan kajian, peruntukan kewangan dan ini adalah aspirasi saya," katanya.

Berita Harian X