BACHOK: Pelajar yang memperoleh 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meskipun perlu menjaga ibu yang menghidap angin ahmar, memohon orang ramai menghormati keuzuran ibunya, apabila ramai berkunjung ke rumah mereka susulan kejayaannya itu.
Video memaparkan Muhammad Syahril Saidi, 18, menerima keputusan SPM daripada guru sekolah yang menghantarnya selepas dia tidak dapat hadir ke sekolah kerana menjaga ibunya, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, yang terlantar sakit.
Syahril berkata, sejak tular keputusan SPM yang dicapainya, rumah mereka dikunjungi orang tanpa henti sehingga menjejaskan keadaan kesihatan ibunya.
Pelajar Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Iman dekat Beris Lalang di sini, berkata dia menghargai keprihatinan orang ramai, namun berharap mereka memahami keadaan ibunya yang sakit angin angin ahmar dan menjaga aurat ibunya dengan keadaan orang merakam video dan gambar.
"Umi sakit angin ahmar sejak 2019, namun empat hari sebelum SPM, keadaan dia agak lemah, jadi saya tak sampai hati nak tinggalkan dia sendirian termasuk nak pergi ambil keputusan SPM," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kandis, di sini, hari ini.
Syahril menafikan ibunya menghidap penyakit kanser tahap empat seperti yang ditularkan pihak tertentu.
Katanya, dia sendiri tidak menyangka mendapat keputusan semua A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains, Perniagaan, Usul Al-Din, Al-Syariah, Al-Lughah Al-Arabiah Al-Mu'asirah, Manahij Al-Ulum Al- Islamiah dan Al- Adab Wa Al-Balaghah.
Katanya, dia sentiasa menumpukan seratus peratus pembelajaran dalam kelas, selain menjaga adab dengan guru.
"Bila balik sekolah saya akan uruskan umi pula bersama kakak. Namun saya tak anggap susah kerana bila kita utamakan ibu, makin mudah urusan hidup kita," katanya anak bongsu daripada enam beradik itu.
Syahril berkata, ketika ini dia sedang menyambung pelajaran Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Maahad Yaakubiah, Kampung Nipah, Bachok.
"Umi masih boleh bercakap dan sebaik tahu saya dapat 11A, umi tersenyum. Walaupun jaga ibu sakit, tapi saya masih boleh keluar ke sekolah kerana ibu turut dijaga abang dan kakak yang lain," katanya.
Syahril yang sudah kehilangan bapa sejak berusia tujuh tahun, berkata buat masa ini dia akan meneruskan pelajaran peringkat STAM sebelum menyambung ke peringkat Ijazah.
@hernisafliza tahniah