Jumaat, 9 Jun 2023 | 3:32pm
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (kiri) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (kiri) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar kemuka bantahan terhadap permohonan Sanusi, persoal skop pengampunannya oleh Agong

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bantahan terhadap permohonan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, supaya Mahkamah Tinggi Alor Setar menentukan persoalan berkaitan pengampunan yang diberikan kepadanya lima tahun lalu.

Pada 31 Mac lalu, Sanusi memohon mahkamah menentukan persoalan fakta iaitu sama ada pengampunan yang diberikan Yang di-Pertuan Agong kepada Anwar pada 16 Mei 2018 adalah pengampunan penuh, yang bukan sahaja mengetepikan keseluruhan hukuman yang sedang dijalani, malah sabitan yang sedang dihadapinya.

Sanusi juga memohon mahkamah untuk menentukan persoalan undang-undang, sama ada sesuatu pengampunan yang diberikan Yang di-Pertuan Agong di bawah kuasa yang diperuntukkan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan berupaya mengetepikan sabitan jenayah.

Permohonan Sanusi itu adalah berkaitan kes saman fitnah difailkan Anwar terhadapnya pada 13 Disember tahun lalu, berhubung ucapan berbaur fitnah yang mengaitkan Ahli Parlimen Tambun dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah 'Jelajah PN Best Tambun'.

Dalam afidavit jawapan difailkan 25 April lalu melalui Tetuan S N Nair di Mahkamah Tinggi Alor Setar, Anwar menyatakan bahawa permohonan Sanusi bagi menentukan persoalan itu adalah di luar bidang kuasa mahkamah.

Menurut Presiden PKR itu, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Perkara 181, memperuntukkan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan adalah kuasa yang tetap dan tidak terjejas.

Beliau menegaskan, pelbagai kes diputuskan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan yang mendukung prinsip perundangan itu dengan memutuskan bahawa mahkamah tidak boleh mengesahkan apa-apa keputusan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, ia termasuk keputusan untuk memberikannya pengampunan, yang secara langsung membuktikan bahawa mahkamah tidak mempunyai apa-apa bidang kuasa untuk berbuat demikian.

"Selaras dengan pengampunan itu, saya diampunkan secara penuh dan segala keburukan ke atas diri saya, termasuk rekod mahkamah adalah diketepikan dan apa-apa kenyataan yang menyentuh perkara sama adalah fitnah serta boleh diambil tindakan," katanya.

Anwar dalam pernyataan tuntutan melalui saman itu, mendakwa kenyataan fitnah berkenaan antaranya membawa maksud beliau mendapat pengampunan melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan.

Berita Harian X