Jumaat, 9 Jun 2023 | 2:35pm
Upacara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa di Plaza Merdeka sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini. - Foto NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Upacara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa di Plaza Merdeka sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini. - Foto NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Pemimpin BN pastikan kestabilan politik melalui Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR: Pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) sepakat untuk memastikan kestabilan politik di negara ini terus terpelihara, melalui sokongan dan usaha memperkukuh Kerajaan Perpaduan.

Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, berkata sebarang perkara yang menggugat Kerajaan Perpaduan akan menjejaskan negara dan memberi kesan negatif kepada rakyat.

Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran.
Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran.

"Tiada tolak ansur dalam usaha kita untuk memperkukuh Kerajaan Perpaduan. Walau apa juga keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak, saya pasti kerajaan ini tidak akan tergugat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian pembukaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas ucapan dasar Presiden UMNO, yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengenai gabungan 19 parti dalam Kerajaan Perpaduan, yang harus dilihat sebagai satu kekuatan, walaupun rencamnya lebih rumit.

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata mesej Ahmad Zahid jelas untuk semua parti meletakkan keutamaan negara di tempat tertinggi dan menjadikan rakyat majmuk sebagai agenda utama.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

"Beliau menyebut mengenai haluan BN dan UMNO, lebih kepada kesederhanaan. Saya rasa ini adalah asas perjuangan penting yang sangat pragmatik dalam kemajmukan masyarakat Malaysia.

"Selain itu, kita juga perlu rapatkan saf untuk mendapatkan sokongan rakyat, dengan cabaran amat besar. Kita perlu sahut seruan ini untuk kembali menjadi lebih kuat," katanya.

Ditanya mengenai kehadiran pemimpin Pakatan Harapan (PH) pada pembukaan PAU kali ini, Ka Siong berkata, ia sama saja seperti PAU sebelum ini.

"Kita tetap berada dalam BN, seperti tradisi kita. Dalam keadaan politik sekarang, pihak penganjur melakukan sedikit pengubahsuaian (dengan menjemput parti komponen Kerajaan Perpaduan) dan bagi saya, sama saja," katanya.

Berita Harian X