Jumaat, 9 Jun 2023 | 12:09pm
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh, menuntut DAP membuat permohonan maaf secara terbuka kepada UMNO ketika menyampaikan ucapan beliau pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2023, semalam. - Foto fail NSTP
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh, menuntut DAP membuat permohonan maaf secara terbuka kepada UMNO ketika menyampaikan ucapan beliau pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2023, semalam. - Foto fail NSTP

DAP mahu UMNO tak ungkit kisah silam, segera 'move on'

Oleh Mohd Nasaruddin Parzi [email protected]

KUALA LUMPUR: DAP mahu UMNO tidak mengungkit kisah silam dan menoktahi segala sengketa serta terus fokus untuk bergerak ke hadapan bersama Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata DAP secara dasarnya sudah mencapai kata sepakat serta persefahaman yang jelas dengan pimpinan utama UMNO untuk bekerjasama sebagai rakan politik baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

"Itu (desakan supaya DAP minta maaf) pandangan masing-masing, tak mengapa. Dalam ucapan atau perhimpunan, sudah tentu ada banyak pandangan.

"Macam saya katakan, saya setuju dengan ucapan atau inti pati ucapan Presiden UMNO, lupakan kisah silam. Bersama demi negara. Kita 'move on' dari persengketaan atau permusuhan politik selama ini.

"Permusuhan, sentimen ini masing-masing (parti) ada. Setiap parti ada. Kalau kita terus mengungkit-ungkit kisah lama, ia tidak akan berkesudahan. Kita sudah bekerjasama lebih enam bulan. Kita sudah bincangkan segala persetujuan dan komitmen masing-masing dan kita sudah 'move on' sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri hadir Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata, semua parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu menumpukan kepada usaha untuk memperkukuh ikatan kerjasama yang sudah terjalin lebih enam bulan ini.

"Tak perlu kita ulas lagi (cerita minta maaf). Kerajaan ini sudah dibentuk lebih enam bulan. Kerajaan ini sudah berfungsi dengan baik. Kalau kita terus berpolemik dengan kisah lama, ia tidak akan berkesudahan. Kerajaan sudah terbentuk. Kabinet sudah berfungsi dan bermesyuarat bersama setiap minggu selama lebih enam bulan.

"Setakat ini tak timbul pun isu berkenaan ketidakserasian parti dalam Kerajaan Perpaduan. Apa yang penting hari ini, kita kena tunjukkan komitmen kita untuk bekerjasama. Kita lupakan persengketaan politik. Itu sudah dinoktahkan sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan pada November lalu," katanya.

Beliau turut meminta semua rakan parti Kerajaan Perpaduan untuk bekerjasama mendepani pelbagai cabaran yang mendatang, termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

"Apa yang penting, kita ada pelbagai cabaran di hadapan. Ada cabaran politik, enam PRN, cabaran ekonomi dan pembangunan negara dan macam-macam lagi. Semua parti sudah berlapang dada.

"Pimpinan parti masing-masing sudah menunjukkan komitmen tinggi untuk bersama-sama. Pandangan lain itu kita hormati, tapi pimpinan masing-masing sudah ada persefahaman yang begitu jelas," katanya.

Sebelum ini, Pemuda UMNO menuntut DAP membuat permohonan maaf secara terbuka atas semua kata-kata dan tohmahan yang pernah dilemparkan kepada UMNO sehingga mengguris hati semua ahli parti itu hingga kini.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, dilaporkan berkata, jika DAP boleh membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum ini, mengapa tidak kepada UMNO.

"Pemuda UMNO menuntut DAP perlu membuktikan segala tohmahan, pemikiran dan cakap yang kononnya DAP ini anti-Melayu, anti-Islam, rasis.. tidak sama sekali akan berlaku dalam Kerajaan Perpaduan ini.

"Kalau masa mahu tubuh Kerajaan Perpaduan dulu, DAP boleh terbang ke Sarawak berjumpa dengan GPS, minta maaf.

"Maka hari ini, kalau mahu lembutkan hati orang UMNO, kalau suci mahu menjalin tali persahabatan, kita mohon DAP tarik balik tohmahan diberi kepada UMNO dulu," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO pada PAU 2023.

Berita Harian X