KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menggunakan istilah 'political chameleon' atau 'mengkarung politik' untuk menggambarkan perbezaan UMNO dengan sebuah lagi parti yang menggunakan Islam sebagai label perjuangan.
Tanpa menyebut secara khusus nama parti dimaksudkannya itu, Presiden UMNO menyifatkan parti itu sebagai mengkarung politik sebenar kerana sanggup memperdagangkan ayat Allah dan berselindung di sebalik kepentingan politik sempit mereka.
"Mereka adalah mengkarung politik yang bukan sahaja berubah warna dan wajah, tetapi lebih dahsyat parti ini seolah-olah menjadi pemegang neraca di 'yaumul mahsyar' (hari penentuan)...Nauzubillah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Perhimpunan itu turut dihadiri Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung Sekretariat Kerajaan Perpaduan merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong serta Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.
Hadir sama, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu; Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan nasional (BN) menegaskan UMNO sebaliknya bukan mengkarung politik sehingga sanggup menghakis kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera semata-mata demi kerjasama politik.
"Andai ada yang cuba memainkan sentimen kononnya kerjasama politik yang dilakukan oleh UMNO akan menghakis kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera, suka saya tegaskan UMNO bukan 'political chameleons' atau mengkarung politik.
"Kita tetap mempertahankan empat perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberi contoh dalam konteks Melayu di mana pelbagai tuduhan termasuk fatwa politik dilemparkan parti bersifat mengkarung politik itu terhadap UMNO.
"Dalam soal hudud, kita pernah dikafirkan dan kemudian atas kepentingan kerakusan politik mereka, disebut pula hudud bukan keutamaan. Semasa mereka berada di dalam kerajaan, mana perginya agenda RUU 355?.
"Kita juga biasa mendengar tuduhan kepada UMNO yang berselindung di sebalik nama Bumiputera. Akan tetapi, tidak sampai pun dua tahun di puncak kuasa, Bumiputera yang kononnya menjadi agenda perjuangan mereka, telah di 'JANA WIBAWA' kan.
"Inilah ciri-ciri pengkhianat yang membalut dirinya dengan slogan Bersih dan Stabil kononnya," katanya.
Menyentuh soal kalimah 'Allah' pula, Ahmad Zahid berkata pihak terbabit kini gegak-gempita cuba menjadi juara dengan menyelewengkan fakta kononnya kerajaan hari ini menggadai kalimah 'Allah'.
Hakikatnya, beliau menegaskan pendirian UMNO tidak berubah walau seinci pun dan UMNO serta wakil parti dalam Kabinet - walaupun tanpa perlu berkokok seperti ayam jantan - dengan tegas menyatakan kalimah 'Allah' tidak boleh diguna pakai oleh agama lain.
"Alhamdulillah, penegasan kita ini juga menjadi pendirian Kerajaan Perpaduan," katanya.
Keadaan itu, katanya, berbeza berbanding 'mengkarung' politik' yang menunggang agama suatu ketika dahulu, semasa bersama rakan politik yang sama seperti kita hari ini, mengatakan tidak salah untuk agama lain menggunakan kalimah Allah.
"Apa pun hujah mereka, yang jelas dan nyata mereka akan menukar kulit mengikut suasana. Melayu dan Islam bagi mereka, hanya topeng yang digunakan dalam persembahan sandiwara politik.
"Sedarlah, Melayu dan Islam bukan topengan. Melayu dan Islam punya santun dalam tindakan, hemah dan sopan dalam pertuturan," katanya.
Dalam konteks mendepani realiti politik baharu pula, Ahmad Zahid berkata UMNO melakukan penyesuaian politik tanpa mencairkan sedikit pun soal keindukan Islam, tanpa menggadaikan maruah dan agenda Melayu Bumiputera serta tanpa memperjudikan nasib rakyat keseluruhannya.
"Penyesuaian itu dibuat sejak awal kemerdekaan, menangani insiden 1969, kerjasama politik BN (Barisan Nasional) pada 1974, ketidaktentuan politik ekoran tindakan Perdana Menteri Ketujuh pada 2020 dan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.
"Kita ahli-ahli UMNO seharusnya berdiri megah kerana parti keramat ini sentiasa meletakkan keutamaan demi negara,
"UMNO sentiasa membuka pintu untuk bekerjasama dan sentiasa meletakkan rakyat sebagai agenda utama kita," katanya.
Ahmad Zahid yang memaklumkan sepanjang liku-liku penyesuaian politik yang dilalui UMNO, asas serta keindukan negara bangsa terus dipelihara dan terbela.
Malah, tegas beliau perkara itu juga menjadi prasyarat yang diletakkan oleh UMNO dalam menjalin mana-mana kerjasama politik, termasuk berkongsi kuasa dengan semangat saling mempercayai antara satu sama lain .
Beliau berkata, kemajmukan negara ini adalah 'sunnatullah', hukum Allah yang perlu sama-sama disantuni.
"Sementara kita melakukan penyesuaian politik berdasarkan realiti politik semasa, termasuklah dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan sejak 24 November tahun lalu, perkara pokok atau asas yang membabitkan soal Islam, Melayu dan Bumiputera tidak pernah dicabar atau cuba dirobek oleh mana-mana rakan kongsi politik kita," katanya.