Khamis, 8 Jun 2023 | 8:41pm

Kerjasama UMNO-DAP politik baharu tetapi ahli perlu jelas

KUALA LUMPUR: Kesediaan UMNO bekerjasama dengan DAP seperti yang dinyatakan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2023, semalam memperlihatkan ekosistem politik negara sudah pun berubah.

Namun tugas getir UMNO adalah untuk mendekati akar umbi bagi memastikan setiap bentuk kerjasama dengan DAP boleh diterima bukan sahaja di peringkat pucuk pimpinan malah di bahagian bawah juga.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian, berkata suasana politik hari ini membuktikan bahawa tiada lagi musuh atau kawan yang kekal sebaliknya mencari titik persamaan untuk menzahir kepercayan dan keyakinan sesama parti politik.

Katanya, sudah tiba masanya untuk UMNO dan DAP yang membentuk kerajaan dalam Kerajaan Perpaduan hari ini untuk mencari persamaan.

"PAS dan DAP sebelum mudah untuk bekerjasama kerana musuh politik mereka jelas tetapi, berbeza dengan kerjasama UMNO dan DAP, mereka perlu jelas mengenai siapa musuh politik mereka dan pada masa yang sama, 'tembak' sesama sendiri juga perlu dielakkan.

"Ini adalah masa untuk menampakkan kepimpinan dan mengenepikan perbezaan serta mencari titik persamaan jika mereka mahu ia kekal sekali gus UMNO kekal signifikan.

"Tetapi pastinya, dilema UMNO adalah untuk mendekati kumpulan akar umbi supaya kerjasama di peringkat pimpinan atasan juga sampai ke bawahan," katanya kepada BH, di sini hari ini.

Zahid yang juga Presiden UMNO semalam, menolak kritikan yang dilempar pihak tertentu terutama pembangkang, berhubung kerjasama di antara UMNO dengan DAP dan menegaskan PAS juga pernah bersama dengan DAP.

Katanya, selama ini agenda mengenai Islam, Melayu, Raja-Raja Melayu dan bahasa Melayu tidak pernah diusik oleh mana-mana parti dalam Pakatan Harapan (PH) malah mereka menghormati itu perjuangan UMNO kerana terdapat dalam Perlembagaan UMNO bahawa keempat-empat unsur ini wajib dipertahankan.

"Saya tidak nampak ada permasalahan kononnya kita terpaksa menggadai maruah dan sebagainya, sebab PAS (pernah) bersama dengan DAP dah lama. Kenapa PAS boleh, bila kita (UMNO) buat kononnya kita ini menggadai Islam dan Melayu," katanya selepas menghadiri sesi Taklimat Presiden yang diadakan secara tertutup sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023

Sementara itu, Penganalisis politik, Dr Ainul Adzellie Hasnul juga melihat kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu sebagai tidak salah kerana UMNO perlu berbaik dengan DAP dalam konteks Kerajaan Perpaduan, hari ini.

Katanya, walaupun DAP adalah musuh UMNO sebelum ini, demi untuk membentuk sebuah kerajaan, kedua-dua parti sudah bersetuju untuk bekerjasama.

"Dalam politik, segala kemungkinan boleh berlaku dan kini UMNO dan DAP adalah menjadi kerajaan yang sama. Malah ia akan diteruskan untuk menghadapi pilihan raya enam negeri yang bakal diadakan tidak lama lagi.

"Sejauh mana kerjasama di antara kedua-dua parti ini bergantung kepada iltizam pemimpin parti-parti ini demi melihat negara maju ke hadapan. Segala pertelingkahan di antara parti-parti dalam kerajaan hendaklah dielakkan, kerana kerajaan perlu lebih tertumpu kepada untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata, kerjasama di antara UMNO-DAP juga dilihat semakin kukuh dan ia dibuktikan dengan kerjasama di peringkat kerajaan negeri seperti di Perak dan Pahang.

Berita Harian X