KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mendakwa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersikap 'baling batu sembunyi tangan' berhubung kenyataannya bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah.
Merujuk kenyataan Muhammad Sanusi semalam yang menafikan mengeluarkan sebarang kenyataan mendesak Perlembagaan dipinda dalam isu itu, Guan Eng berkata, penafian itu hanya dibuat tujuh hari selepas sebuah portal berita melaporkan Menteri Besar Kedah itu membuat kenyataan sedemikian.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Bagan bekenaan berkata, beliau percaya Muhammad Sanusi gagal menjawab soalan polis ketika disoal siasat, sehingga memaksanya menafikan pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berpandangan Muhammad Sanusi tidak sepatutnya menyalahkan media, sebaliknya perlu bersikap berani dan mengakui membuat kesilapan apabila membuat kenyataan berkenaan.
Katanya, laporan portal berita itu diterbitkan pada pada 31 Mei lalu dan hanya semalam, Menteri Besar Kedah berkenaan menyatakan laporan berkenaan sebagai palsu.
"Kenapa tunggu tujuh hari dan hanya selepas disiasat polis, baru beliau buat pembetulan ini? Dalam tujuh hari sebelum ini, beliau diam saja.
"Saya percaya ini kerana beliau tak dapat jawab soalan polis yang menyiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Jangan cuba menegakkan benang yang basah. Jelas sekali beliau tidak buat pembetulan segera (laporan berita didakwa salah), sekarang salahkan media. Saya rasa beliau tidak bercakap benar kerana kalau betul, tentu sejak awal pembetulan dibuat," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Semalam, Muhammad Sanusi mendakwa hanya mengeluarkan kenyataan menuntut nilai pajakan Pulau Pinang yang dibayar kepada Kedah dinaikkan mengikut kadar semasa selepas bayaran kepada negeri itu sejak 2018 hanya berjumlah RM10.01 juta.
Menteri Besar Kedah membuat penafian itu pada sidang media selepas memberi kenyataan hampir satu jam kepada pegawai penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman, yang hadir merakam kenyataannya di Alor Setar.
Pada 31 Mei lalu, portal berita berkenaan melaporkan Muhammad Sanusi mahu mana-mana bahagian membabitkan keanggotaan Persekutuan dalam Perlembagaan dipinda bagi menyokong tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang.
Guan Eng yakin media sudah membuat pemeriksaan berulang kali sebelum laporan itu diterbitkan, memandangkan kenyataan Muhammad Sanusi membabitkan perkara besar.
"Sebagai seorang Menteri Besar yang disebut sebagai berani, beliau harus akui apa yang disebut dan menyedari apa yang dikatakan itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat, khususnya warga Pulau Pinang," katanya.