Khamis, 8 Jun 2023 | 11:22am

'Impian terbang dorong mekanik bina pesawat ringan sendiri'

MARAN: Seorang mekanik bercita-cita mahu melihat pesawat ringan yang sedang dibinanya ketika ini, dapat diterbangkan apabila silap kelak.

Mohd Zaki Zahari, 58, mengakui sedar bahawa impiannya itu hampir mustahil berikutan kekangan peraturan-peraturan berkaitan penerbangan di negara ini.

Namun bapa kepada tujuh anak terbabit itu, berkata dia tetap akan menyiapkan pesawat ringan jenis 'seaplane' yang dibinanya sejak Mei tahun lalu itu kerana minat yang terlalu mendalam terhadap bidang aeroangkasa.

Katanya, dia tidak kisah berhabis kira-kira RM10,000 setakat ini semata-mata mahu melihat impiannya menjadi kenyataan.

"Saya anggarkan pesawat ini sudah hampir 70 peratus siap, namun tidak dapat menjangkakan bila ia boleh disiapkan sepenuhnya kerana bergantung kepada keadaan kewangan," katanya ketika ditemui di bengkel miliknya di Kampung Senggora, di sini, petang semalam.

Mohd Zaki berkata, idea membina pesawat ringan itu tercetus selepas hampir 34 tahun dia bergiat aktif dalam hobi bermain kapal terbang dan helikopter kawalan jauh (RC) malah sepanjang tempoh terbabit, sudah banyak model pesawat RC yang dibinanya menggunakan pelbagai bahan.

"Dari aspek teknikal, kapal terbang RC hampir sama dengan pesawat sebenar kerana kebanyakan model pesawat yang dibina menggunakan pelan pesawat sebenar dengan mengecilkan skala asal.

"Dari situ datang idea kenapa saya tidak membina satu pesawat dengan skala sebenar yang boleh diterbangkan dari dalam kokpit," katanya.

Jelas Mohd Zaki, dia sebenarnya sudah lama menyimpan hasrat untuk membina pesawat dengan skala sebenar namun terbantut berikutan faktor kewangan dan masa.

Menceritakan mengenai 'hasil tangannya' itu, Mohd Zaki berkata, pesawat sayap tetap (fixed-wing aircraft) yang dibinanya mempunyai ukuran panjang kira-kira enam meter, panjang sayap sembilan meter dan berat sekarang kurang daripada 200 kilogram.

"Saya menggunakan enjin kereta Volkswagen Beetle 1200 cc yang telah dinaik taraf menjadi 50 kuasa kuda dan dijangka pesawat ini mampu terbang dengan kelajuan lebih 60 knot atau 120 kilometer sejam.

"Sebahagian bahan yang digunakan untuk membina pesawat ini adalah daripada barangan terpakai namun saya terpaksa melabur untuk membeli bilah kipas kerana mengambil kira faktor keselamatan," katanya.

Selain itu katanya, pesawatnya itu turut dilengkapi dengan 'Inclinometer' dan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) untuk tujuan kawalan ketika penerbangan.

Tambahnya, usahanya itu turut mendapat perhatian individu dari luar negara yang menghubunginya untuk bertukar pandangan kerana lelaki terbabit juga ada membina pesawat sendiri.

"Selain itu, saya sering bertukar fikiran dan meminta pandangan rakan-rakan terutama mereka yang berkongsi minat dan hobi yang sama.

"Walaupun mustahil untuk saya terbangkan pesawat ini disebabkan faktor undang-undang tetapi saya berharap hasil kerja saya ini dapat diiktiraf atau sekurang-kurangnya menjadi rujukan untuk pelajar dalam bidang kemahiran berkaitan aeroangkasa," katanya.

Mohd Zaki Zahari, 58, bergambar dengan pesawat ringan yang sedang dibinanya di Kampung Senggora, Maran.
Mohd Zaki Zahari, 58, bergambar dengan pesawat ringan yang sedang dibinanya di Kampung Senggora, Maran.
Berita Harian X