Khamis, 8 Jun 2023 | 10:44am
Pelajar di Sekolah Menengah (SM) Sains Kuala Terengganu (SESTER) ceria selepas mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021. - NSTP/Ghazali Kori
Pelajar di Sekolah Menengah (SM) Sains Kuala Terengganu (SESTER) ceria selepas mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021. - NSTP/Ghazali Kori

Pastikan lepasan SPM bermotivasi belajar, lanjut pengajian

Menurut statistik Kementerian Pendidikan (KPM), seramai 403,637 calon menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022. Calon SPM tahun lalu adalah pelajar kumpulan kedua terjejas pembelajaran akibat penularan COVID-19 tetapi menduduki peperiksaan ketika negara berada dalam fasa peralihan ke endemik.

Pengumuman keputusan SPM boleh dianggap antara peristiwa ditunggu-tunggu semua kerana ia menjadi petunjuk kepada pencapaian dan prestasi akademik serta sahsiah kelompok pelajar dari seluruh negara menamatkan persekolahan selepas 11 tahun belajar.

Pelajar cemerlang lazimnya melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi sama ada mengikuti program matrikulasi, asasi sains, diploma atau memilih menyambung belajar ke tingkatan enam. Ia adalah proses umum perlu dilalui lepasan SPM jika ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Namun baru-baru ini, negara dikejutkan dengan laporan daripada KPM, hampir separuh lepasan SPM 2021 enggan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, sebaliknya ramai memilih untuk bekerja sama ada dalam pekerjaan konvensional atau menceburi ekonomi gig.

Hari ini, keputusan SPM diumumkan dan tidak dinafikan, ia masih dibayangi dengan laporan lepasan SPM enggan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sehingga menimbulkan kegusaran kepada kerajaan, KPM serta dunia akademik. Pelbagai teori dikemukakan cendekiawan, pakar pendidikan dan pensyarah mengapa fenomena membimbangkan itu berlaku, antaranya dikaitkan dengan kemunculan ekonomi gig, impak pasca pandemik menyebabkan banyak keluarga terjejas sumber pendapatan dan sikap lepasan SPM itu sendiri.

Tidak dinafikan, faktor terbabit berasas, namun ia turut menggambarkan pelajar terutama bakal lepasan SPM tidak diberikan kefahaman kepentingan menyambung pendidikan ke peringkat lebih tinggi untuk menjadi modal insan berpengetahuan tinggi, dinamik dan kalis cabaran.

Wujud persoalan sejauh mana pendidikan dan pengajaran di sekolah dapat menerapkan kefahaman kepada bakal lepasan SPM supaya bermotivasi untuk menyambung pengajian selepas tamat persekolahan. Belum terlewat untuk KPM memperbetulkan kepincangan ini.

KPM juga patut lebih pantas mewujudkan silibus mampu memintas ketagihan pelajar kepada peranti digital terutama telefon pintar. Ketagihan melampau generasi muda kepada telefon pintar adalah antara sebab mereka tidak berminat melanjutkan pengajian.

Generasi muda lebih tertarik melayari media sosial, bermain permainan dalam talian dan mengikut pempengaruh media sosial sehingga akhirnya mempengaruhi mereka untuk menjadi seperti pereka kandungan bagi meraih pendapatan tinggi tanpa belajar ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Kadar pengangguran tinggi dalam kalangan graduan pasca pandemik turut menjejaskan motivasi lepasan SPM untuk menyambung pelajar kerana ia menimbulkan persepsi 'belajar tinggi-tinggi pun menganggur'. Kerajaan tidak patut lepas tangan, sebaliknya perlu mewujudkan insentif menggalakkan sektor swasta mengambil graduan bekerja.

Pada masa sama, institusi keluarga khasnya ibu bapa perlu lebih tegas memupuk semangat dan mentaliti anak supaya mengutamakan pendidikan pada usia muda sebagai persediaan menghadapi cabaran masa depan.

Berita Harian X