Rabu, 7 Jun 2023 | 6:12pm
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang ketika sesi soal jawab pada Sidang Dewan Rakyat, hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang ketika sesi soal jawab pada Sidang Dewan Rakyat, hari ini. - Foto BERNAMA

Dasar, syarat lesen terhadap Lynas kekal

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah mengubah dasar dan syarat lesen pengoperasian yang dikenakan kepada Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas Malaysia) sejak 2020.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, berkata, kerajaan terus konsisten dan tiada perubahan dibuat mengenai dasar dan syarat lesen pengoperasiannya hingga kini.

"Lynas Malaysia sedia maklum dan menerima syarat yang digariskan serta melaksanakan syarat itu termasuk membina loji bagi aktiviti pemecahan dan peresapan (C&L) di Australia.

"Sejak 2020, kita kenakan syarat itu dan hari ini syarat yang sama, tiada perubahan, tiada elemen kejutan. Kita sudah teliti semua syarat dan tiada keputusan untuk buat perubahan, konsisten itu penting kerana hal ini membabitkan pelaburan asing," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal mendakwa kerajaan semasa tidak jelas dalam menentukan dasar serta syarat terkait isu Lynas ini, sehingga dikhuatiri boleh menjejaskan pelaburan asing.

Lih Kang berkata, syarat itu dibuat berdasarkan faktor dasar kerajaan, impak terhadap alam sekitar serta maklum balas masyarakat setempat terhadap pengoperasian Lynas Malaysia bagi projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, Kuantan, Pahang.

Menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka), Lih Kang berkata, keputusan memberi lanjutan tempoh operasi enam bulan kepada Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) adalah muktamad dan tidak boleh diubah, selaras Seksyen 32(5) Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984.

Beliau berkata, pada 17 Mei tahun lalu, Lynas sudah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Tenaga Atom (JTA) dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ketika itu bagi menggugurkan empat syarat lesen LPTA/A/1333.

"Permohonan berkenaan sudah dibawa untuk pertimbangan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB). Pada 13 Februari lalu, Lembaga menolak permohonan berkenaan. Rayuan dikemukakan Lynas pada 28 April lalu adalah dibuat berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 32, Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304).

"Dengan kuasa yang diberikan kepada Menteri MOSTI di bawah seksyen yang sama juga, keputusan ke atas rayuan sudah dibuat pada 5 Mei lalu dan disampaikan kepada Lynas.

"Mengambil kira kesan keputusan ini terhadap rantaian bekalan nadir bumi di peringkat global, MOSTI bersetuju untuk melanjutkan tempoh aktiviti C&L di LAMP, Gebeng sehingga 31 Disember 2023," katanya.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan empat syarat termasuk aktiviti C&L, penjanaan residue water leach purification (WLP) dan pengimportan pekatan lantanid dari Australia.

Selepas 1 Januari 2024, Lynas perlu memastikan loji C&L di luar negara mula beroperasi kerana syarikat itu tidak lagi dibenarkan mengimport bahan mentah yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi ke Malaysia.

Berita Harian X