KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengesahkan tidak berlaku kenaikan harga beras tempatan yang kekal sekitar RM2.60 sekilogram.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata harga beras putih yang dilaporkan naik lima peratus sebelum ini, merujuk kepada beras import yang berkualiti tinggi.
"Sekarang ini heboh beras putih naik harga lima peratus. Saya beri jaminan yang naik itu hanya harga beras import berkualiti tinggi, iaitu makanan orang-orang berada.
"Untuk orang awam, rakyat Malaysia, keadaan beras adalah terjamin sekitar RM2.60 sekilogram," katanya menjawab soalan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Shir Yee bertanyakan langkah diambil kementerian untuk menambah baik kedudukan Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) Malaysia.
Mohamad berkata, pihaknya menggandakan usaha mencukupkan pengeluaran beras tempatan termasuk melaksana Program Smart Sawah berskala besar.
"Sekarang ini, kebanyakan pesawah sudah berusia. Dengan konsep berskala besar dan penggunaan teknologi baharu, anak muda mula terbabit secara aktif.
"Di Kedah, misalnya, kita lihat pemandu dron semuanya anak-anak muda dan berkelulusan universiti.
"Mereka aktif dalam pertanian dan kita galakkan lagi dengan memberikan pelbagai insentif," katanya.
Beliau yakin Malaysia boleh mencukupkan Tahap Sara Diri (SSL) bagi beras jika terus berusaha dengan cara moden dan baharu, selain kerjasama dalam kalangan penanam padi.
"Selama ini, stok beras kita mencukupi walaupun dalam keadaan pandemik. Soal beras ini tak berlaku kekurangan walaupun kadang-kadang ada kekurangan di satu dua tempat.
"BERNAS dan kerajaan dapat berpadu tenaga iaitu ketika suasana sukar pun, beras mencukupi," katanya.