KUALA LUMPUR: Polis akan merakam keterangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, hari ini, berhubung kenyataannya mendakwa Pulau Pinang milik Kedah.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Saaduddin, berkata rakaman keterangan itu akan dibuat di Pejabat Menteri Besar Kedah di Alor Setar.
Beliau berkata, siasatan berhubung kenyataan itu dibuka selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima laporan polis berhubung kes itu.
"Rakaman percakapan MB Kedah akan dibuat esok (hari ini) mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
"Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan kes masih pada peringkat siasatan," katanya dalam kenyataan, semalam.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan polis sudah membuka kertas siasatan berkait dakwaan Sanusi dan kini sedang menunggu tindakan susulan oleh peguam negara.
Sebelum ini, Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng menggesa rakyat Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap kenyataan Menteri Besar Kedah itu yang disifatkannya sebagai tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.
Baru-baru ini, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, beliau sedia disiasat polis berhubung dakwaannya bahawa Pulau Pinang adalah hak Kedah dan negeri diterajuinya itu hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.