Isnin, 5 Jun 2023 | 1:47pm

'Hanya 239 hari lagi sebelum beta berdua balik kampung, ke Pahang' - Al-Sultan Abdullah

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini memaklumkan bahawa baginda bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hanya mempunyai kira-kira 239 hari lagi di Istana Negara.

Seri Paduka kemudian akan mengakhiri tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 dan berangkat pulang ke Pahang.

Baginda menzahirkan kesyukuran kerana telah dianugerahkan taufik dan hidayah, kudrat serta keafiatan daripada Allah SWT untuk melaksanakan amanah besar memayungi Malaysia selama hampir lima tahun lamanya.

"Dalam perkiraan beta, hanya 239 hari lagi sebelum beta berdua balik ke kampung, ke negeri Pahang," titah Seri Paduka.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.

Ia istiadat pengurniaan darjah kebesaran terakhir yang disempurnakan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 setelah bersemayam sejak 2019.

Pada masa sama, Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Pahang turut menzahirkan penghargaan dan kesyukuran kepada Majlis Raja-Raja atas kepercayaan serta amanah besar kepada baginda dalam memayungi negara hampir lima tahun.

Titah Seri Paduka, nasihat dan pandangan yang dizahirkan oleh Raja-Raja Melayu telah berupaya untuk membantu dalam merungkai pelbagai kemelut yang melanda negara.

"Semangat musyawarah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu perlu terus dijunjung dan diperkasakan sebagai mekanisme semak dan imbang terakhir ke atas tadbir urus negara yang telus, demi kelangsungan hidup rakyat jelata," titah baginda lagi.

Al-Sultan Abdullah bertitah, sistem penggiliran yang di-Pertuan Agong di antara sembilan Raja-Raja Melayu yang diamalkan sejak kemerdekaan negara, menjadi bukti kekuasaan dan jawatan bukan bersifat mutlak.

Titah Seri Paduka, institusi Yang di-Pertuan Agong juga satu mercu tanda yang melindungi Perlembagaan Persekutuan, menjadi sumber keadilan, tonggak kestabilan dan penjaga kepada amalan demokrasi negara.

"Institusi Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara menjadi tiang seri kepada perpaduan melangkaui kaum, bangsa dan agama. Ia pemusatan dan tumpuan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi oleh Kerajaan Persekutuan, Angkatan Tentera Malaysia dan rakyat jelata sekaliannya," titah baginda.

Seri Paduka menegaskan, institusi Yang di-Pertuan Agong juga pelindung kepada sekalian rakyat jelata.

"Natijahnya, Yang di-Pertuan Agong merupakan obor yang sentiasa menyinari negara agar tidak tergelincir daripada acuan Perlembagaan Persekutuan, idealisme cita-cita dan harapan negara," titah Seri Paduka lagi.

Al-Sultan Abdullah bertitah, sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong hari ini, turut melambangkan citra untuk mendaulatkan institusi berkenaan yang masih lagi kekal sebati dalam setiap sanubari rakyat Malaysia.

Pada masa sama, baginda menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat atas persembahan ucapan tahniah dan doa sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, yang disifatkan amat bermakna dan amat besar ertinya buat Seri Paduka berdua. - BERNAMA

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini. - BERNAMA
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini. - BERNAMA
Berita Harian X