Isnin, 5 Jun 2023 | 11:45am
Istana Negara. - NSTP/Asyraf Hamzah
Istana Negara. - NSTP/Asyraf Hamzah

Fahami takhta Seri Paduka demi taat setia kepada negara

Hari ini menjadi detik bermakna kepada rakyat tanpa mengira kaum, agama dan budaya bagi meraikan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hakikatnya, sambutan ulang tahun keputeraan baginda ini bukan sekadar meraikan tarikh cuti umum semata-mata, bahkan mengandungi makna dan simbolik yang wajib difahami setiap warganegara berkaitan institusi diraja ini.

Hari ini, tidak semua rakyat melihat institusi diraja sebagai payung negara, bahkan bukan sedikit yang bersikap sinis terhadap institusi ini, yang dijamin kedudukannya dalam Perlembagaan.

Ia dapat dilihat pada senario semasa apabila kebelakangan ini, semakin ramai individu dan warganegara berani mencemuh, menghina, mencerca dan memperlekeh institusi diraja berkenaan.

Sempena menyambut hari istimewa ini, perlu diungkapkan mengenai kedudukan utama dan terpenting takhta ini bagi memberikan kita pengetahuan dan peringatan.

Memahami keunikan dan keistimewaan institusi ini membantu kita mencurahkan rasa cinta dan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, sekali gus menjadikan kita rakyat bertanggungjawab, merasai limpahan pemerintahan adil Raja Melayu.

Takhta Yang di-Pertuan Agong adalah takhta pada peringkat Persekutuan yang kewujudannya atas cadangan dan perkenan Raja-Raja yang bertakhta di negeri beraja. Takhta Yang di-Pertuan Agong ini melalui perbincangan panjang dalam kalangan Raja-Raja, termasuk perbincangan mengenai nama, pelantikan, kedudukan, peranan dan fungsinya.

Antara lain, nama awal dicadangkan ialah Yang di-Pertuan Besar, namun selepas perbincangan, nama itu ditukar kepada Yang di-Pertuan Agong. Dalam proses pelantikan pula pada awalnya Majlis Raja-Raja sekadar memilih, tetapi tidak menjadi saksi ke atas pelantikan Yang di-Pertuan Agong.

Menerusi perbincangan lanjut, hal ini diubah dengan menjadikan dua wakil Majlis Raja-raja sebagai saksi ketika Yang di-Pertuan Agong mengangkat sumpah. Perbincangan panjang lebar juga berlaku dalam menentukan peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan.

Perkara ini berkait mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Agong dalam Badan Perundangan dan Badan Eksekutif sehingga mencapai persetujuan seperti dimaktubkan dalam Perlembagaan. Bagaimanapun selepas merdeka, berlaku beberapa pindaan kepada Perlembagaan mengenai fungsi dan peranan Yang di-Pertuan Agong.

Ketua agama Islam negeri tak beraja

Sementara itu, tujuan mewujudkan takhta ini untuk membolehkan seluruh Persekutuan mengamalkan sistem beraja dengan menjadikan sistemnya memenuhi setiap ruang negeri tidak beraja.

Melaka serta Pulau Pinang, seterusnya dengan pembentukan Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak berpeluang mempunyai Raja dengan wujud takhta Yang di-Pertuan Agong. Takhta Yang di-Pertuan Agong juga berkaitan dengan kedudukan Ketua Agama Islam dalam negeri terbabit.

Walaupun tiada Raja sendiri sebagai Ketua Agama Islam; Melaka dan Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak tetap berpeluang menjadikan Raja melalui takhta Seri Paduka sebagai Ketua Agama Islam di negeri mereka.

Yang di-Pertuan Agong juga melantik Yang di-Pertua Negeri selepas berbincang dengan ketua menteri bagi menjadi wakil baginda dalam sebahagian urusan pentadbiran negeri tidak bersultan.

Ringkasnya, pewujudan takhta Yang di-Pertuan Agong menjadikan sistem beraja boleh diamalkan di tanah air ini, termasuk negeri tiada Sultan.

Lafaz 'Yang di-Pertuan Agong' pula memberi petunjuk terdapat satu badan memilih dan mengesahkan pelantikan seorang Raja yang bersemayam di atas takhta negeri untuk seterusnya bersemayam di atas takhta peringkat Persekutuan.

'Yang di-Pertuan Agong' adalah nama khusus bagi Ketua Negara, dan 'Agong' adalah ejaan khusus bagi nama Yang di-Pertuan Agong berbanding ejaan 'agung' walaupun terdapat iras pada maksud umum perkataan 'agung' iaitu paling terutama.

Takhta Yang di-Pertuan Agong pula bukan 'jawatan' dalam erti kata biasa, sebaliknya diertikan pada peringkat Persekutuan sebagai singgahsana atau tempat Raja bersemayam. Justeru, bersama takhta itu, lahirnya tiga perkara utama.

Pertama, Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Utama Negara atau sering disebut sebagai Kepala Utama sebagai terjemahan kepada Supreme Head of the Federation. Perkara ini dinyatakan pada Perkara 32 Perlembagaan.

Walaupun Perlembagaan tidak senaraikan satu persatu peranan ketua negara, namun jelas dalam penulisan dan kajian ilmiah seorang ketua negara antara lain adalah lambang kedaulatan negara.

Kedudukan sebagai ketua utama negara juga berfungsi untuk kesinambungan dan keesahan negara serta pada masa sama boleh melaksanakan kuasa politik, fungsi dan tugasan berlandaskan Perlembagaan dan undang-undang negara. Kuasa ini kebanyakannya dilaksana bagi menjadi punca kestabilan negara dan keseimbangan politik.

Bukti peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara ialah baginda sebahagian daripada setiap cabang badan kerajaan.

Perkara 44 Perlembagaan menyatakan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai satu daripada tiga komponen Badan Perundangan terletak hak padanya kuasa menggubal undang-undang. Selain itu, pada Yang di-Pertuan Agong terletak hak kuasa eksekutif. Pihak kerajaan melaksanakan kuasa baginda.

Kedua, Yang di-Pertuan Agong adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera. Tugas utama angkatan tentera ialah menjaga keselamatan negara. Justeru, sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera pasti amanah digalas Yang di-Pertuan Agong adalah menjadi pemerintah bertanggungjawab menjamin kedaulatan dan keselamatan negara. Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa am berkaitan ketenteraan seperti dalam Perkara 41 dan 137 Perlembagaan.

Ketiga, Yang di-Pertuan Agong memainkan peranan berkaitan agama Islam dan keadilan. Sebagaimana takhta pada peringkat negeri, Yang di-Pertuan Agong juga menjadi kuasa utama berkaitan agama Islam bagi negeri tanpa Raja dan Wilayah Persekutuan serta pancuran keadilan kepada semua peringkat rakyat tanpa mengira agama, keturunan dan tempat kelahiran.

Justeru, wajib untuk setiap individu dan agensi kerajaan serta semua kementerian terus memainkan peranan menjaga institusi beraja dan ia hanya boleh dilaksanakan dengan komitmen tinggi memberikan penghayatan terhadap institusi ini kepada generasi muda akan datang.

Penulis adalah Pensyarah di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa (UIA)

Berita Harian X