KUALA LUMPUR: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 Ke-40 melabuhkan tirai hari ini dengan kehadiran 1.5 juta orang pengunjung.
Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron berkata, beliau sebenarnya khuatir dengan kehadiran tahun ini kerana kehadiran pengunjung seramai 1.3 juta orang tahun lalu adalah disebabkan PBAKL tidak diadakan selama dua tahun kerana pandemik COVID-19.
"Rupanya tidak kerana sehingga malam ini kita telah menerima pengunjung sebanyak 1.5 juta. Melebihi angka tahun lalu iaitu 1.3 juta sahaja. Inilah hari raya buku.
"Pesta ini tidak akan berlaku tanpa kerjasama semua pihak dan juga pemain industri. Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan," katanya ketika Perasmian Penutupan PBAKL 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Beliau juga selaku Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MKBM) berkata, MKBM mempunyai dua matlamat iaitu membudayakan membaca dalam kalangan masyarakat dan memperkasakan industri perbukuan.
"Program ini adalah lambang kepada hasrat kami. Ada juga komen yang mengatakan kehadiran pengunjung ramai tetapi mereka tidak membeli.
"Kami sudah menjalankan kajian, lebih separuh pempamer mengatakan kutipan mereka melebihi tahun lalu. Sekiranya tidak melebihi, kutipan mereka sama.
"Malah pempamer turut menyatakan hasrat untuk sertai PBAKL tahun hadapan dan membesarkan reruai mereka," katanya.
Majlis penutupan ini juga dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi sekolah), Dr Norisah Suhaili; Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim; Wakil Negara Tamu China, He Zhi dan Timbalan Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak, Dr Rashidah Bolhassan.
Selain itu turut hadir Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH), M Thillinadan dan juga Pengarang Berita (Rencana & Agama) BH, Nazmi Yaakub.
Sementara itu, Armizan berkata, beliau berharap PBAKL berupaya menjadi salah satu pesta buku yang tersohor di peringkat Asia.
"Saya yakin kita mempunyai komitmen ini melihatkan kecintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada proses pembudayaan ilmu," katanya.
Beliau turut berkata, kejayaan PBAKL tidak perlu diukur menggunakan indikator jumlah pengunjung dan jumlah wang yang dikumpul menerusi jualan buku.
"Bagi saya walaupun ramai yang datang tetapi tidak membeli, sekurang-kurangnya kehadiran setiap seorang di PBAKL ini adalah untuk membudayakan ilmu dan mengalakkan masyarakat kita untuk mencintai ilmu," katanya.
PBAKL yang melabuhkan tirai hari ini bermula pada 4 Jun yang lalu, dengan penyertaan 256 pempamer dan juga 814 reruai. Sepanjang pesta ini berlangsung, turut diadakan Pameran Hak Cipta ASEAN yang disertai oleh 14 buah negara.