KUALA LUMPUR: Buku bingkisan puisi dan hikayat dongeng putera raja dinobatkan pemenang pertama Anugerah Pilihan Pembaca POPULAR-BH 2023 di BookFest@Malaysia 2023, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Kemenangan Sharifah Sofiatul Balqis Engku Hassan, 22, atau nama penanya, Sofia Roses dalam kategori bukan fiksyen dan Teme Abdullah (fiksyen) membolehkan kedua-duanya membawa pulang hadiah wang tunaiRM3,000 berserta plak dan sijil penghargaan.
Penulis Anjell pula memenangi tempat kedua dalam kategori fiksyen menerusi novel, King Haidar, manakala tempat kedua pula dimenangi Rehan Makhtar (Hati Yang Kau Pinjamkan).
Dalam kategori bukan fiksyen pula, tempat kedua kategori dimenangi Zahirah Zamree melalui buku, Buat Muslimah Yang Jatuh Cinta dan ketiga disandang Ustazah Asma' Harun (Ada Syurga di Rumahmu).
Pemenang kedua dan ketiga kedua-dua kategori masing-masing membawa pulang RM1,500 dan RM1,000 berserta sijil penghargaan.
Hadiah disampaikan Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.
Yang turut hadir, Pengerusi POPULAR Holdings Limited, Desmond Wee dan Pengerusi Kumpulan Media Star, Tan Sri Chor Chee Heung.
Sementara itu, Desmond berkata, penganjuran anugerah itu selaras dengan misi POPULAR menyemai minat untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Namun pada masa sama, anugerah ini mengiktiraf usaha dan pencapaian penulisan tempatan bagi karya bahasa Melayu dan Inggeris selari dengan penganjuran Bookfest@Malaysia.
"Anugerah ini yang diperkenalkan sejak 2008, dibahagikan kepada kategori fiksyen dan bukan fiksyen dengan undian dibuat pembaca bagi mengangkat penulis kegemaran mereka bagi melayakkan karya itu diangkat sebagai pemenang," katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Anugerah Pilihan Pembaca POPULAR-BH 2023.
Desmond berkata, dalam usaha menggalakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia dan menyokong karya yang dihasilkan penulis tempatan, POPULAR memperkenalkan slogan 'Baca untuk Undi, Undi untuk Menang' dalam pertandingan itu.
"Anugerah ini diharapkan terus memupuk minat membaca di samping memperkenalkan penulis baharu menerusi karya yang dihasilkan mereka," katanya.
Anugerah Pilihan Pembaca POPULAR-BH 2023 diadakan dengan kerjasama POPULAR dan BH bersempena BookFest@Malaysia 2023 yang bermula hari ini hingga 11 Jun di KLCC.
Sementara itu, Sofia Roses yang masih menuntut program pengajian rekabentuk fesyen di Taylor's University, berkata beliau mula menulis puisi sejak berada di Tingkatan Dua dan memberanikan diri membukukan koleksinya tahun lalu.
"Buku puisi saya diterbitkan Zahiras Creative dengan lebih 180 muka surat, menceritakan kehidupan dan pengalaman saya sendiri dan hubung kaitnya dengan alam semesta.
"Saya mengambil masa enam bulan ini membukukannya dan sebahagian puisi itu dihasilkan ketika saya di bangku sekolah.
"Saya tidak menyangka karya saya mendapat tempat di sanubari pembaca kerana di luar ramai lagi penulis hebat yang mempunyai kelompok peminat tersendiri," katanya.