KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menahan empat penjaga parkir haram, termasuk seorang warga Bangladesh dalam operasi sekitar ibu negara malam tadi.
Penahanan itu dilakukan Pasukan Tindakan Khas Jabatan Penguatkuasaan DBKL yang menjalankan operasi sekitar Jalan Dewan Sultan Sulaiman, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Chan Sow Lin dari jam 8.30 malam tadi hingga 12 tengah malam.
DBKL dalam kenyataannya berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Jabatan Penguatkuasaan untuk tindakan lanjut dan proses dokumentasi.
"Tindakan penguatkuasaan dibuat melalui peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 50(3), Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Risikan dan pemerhatian dilakukan di lokasi tumpuan (hotspot) yang sering kali mendapat aduan berkaitan individu yang menjalankan aktiviti menjaga dan mengutip wang parkir tanpa kebenaran di kawasan awam.
"Ia membabitkan kawasan tepi atau bahu jalan, siar kaki, kawasan lapang atau mana-mana petak letak kereta awam sedia ada pada waktu siang atau pada malam," katanya dalam kenyataan, hari ini.
DBKL berkata sebanyak 38 individu ditahan untuk diambil tindakan penguatkuaasaan sekitar kawasan tumpuan di pusat bandar Kuala Lumpur sepanjang tahun lalu.
"Sehingga Mei tahun ini pula, sejumlah 46 orang ditahan membabitkan tujuh kes pendakwaan di mahkamah dan 39 kes tindakan Surat Aku Janji.
"Justeru, DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan.
Orang ramai boleh membuat aduan berhubung kegiatan itu menerusi laman sesawang http://adukl.dbkl.gov.my/eApps/system/index.do," katanya.