KUALA LUMPUR: UMNO tidak pernah mengabaikan prinsip perjuangannya dan agenda asas parti itu untuk membela Islam, Melayu dan Bumiputera, Raja-Raja Melayu serta Bahasa Melayu, walaupun landskap politik negara sentiasa berubah.
Justeru, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata dakwaan UMNO akan hilang 50 peratus undi penyokongnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang kerana kerjasama politik pada masa ini
hanyalah ramalan.
"Mana tahu? Ramalan itu kekal ramalan. Apa pun, UMNO fokus kepada agenda kita.
"Satu perkara yang ramai mungkin terlupa. UMNO tidak pernah mencairkan prinsip perjuangan dan agenda asasnya, sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan," katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang meramalkan UMNO akan hilang sekurang-kurangnya 50 peratus sokongan penyokongnya jika tidak menghapuskan persepsi buruk terhadap DAP yang 'didoktrin' sekian lama.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, UMNO sentiasa membuat pelarasan berdasarkan landskap politik semasa, termasuk terbaru, melalui kerjasama di bawah Kerajaan Perpaduan.
Katanya, bagi memastikan perjuangan asas UMNO tidak diganggu-gugat, dua dokumen ditandatangani sebelum dan selepas tertubuhnya Kerajaan Perpaduan, yang menyatakan secara jelas bahawa parti itu tidak akan bertoleransi dalam hal Islam, Melayu dan Bumiputera, Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu.
"Sebab itu, kita tidak dengar suara 'nakal' dalam tempoh enam bulan tertubuhnya Kerajaan Perpaduan, seperti mana 22 bulan yang kita alami ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah pada 2018.
"Itu semua adalah satu isyarat bagaimana UMNO tidak pernah berkompromi dan soal hormat serta toleransi kedua-dua pihak, baik UMNO dan parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan jelas digambarkan dalam konteks hubungan, terutama apabila kita menubuhkan Sekretariat Kerajaan Perpaduan.
"Sebab itu pada PAU ini, antara usul yang penting adalah untuk menetapkan satu asas yang tidak boleh diganggu-gugat dan dalam konteks itu, saya percaya parti lain menghormatinya," katanya.
Mengenai penyertaan semula bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abd Samad ke dalam UMNO walaupun berdepan kes mahkamah, Asyraf Wajdi berkata, parti itu berpegang kepada prinsip sesiapa pun tidak bersalah sehingga dibuktikan.
"Kita tidak pernah pecat beliau tapi beliau yang keluar daripada parti dan bertanding (sebagai calon Bebas). UMNO ini parti yang terbuka dan dalam realiti hari ini, parti tidak boleh menyekat mana-mana pihak selagi mana mereka ingin menyumbang untuk memperkukuh serta menarik sokongan.
"Saya tidak menjangkakan beliau akan membuat kemunculan semula dalam konteks politik, cuma bagi orang yang mempunyai pengalaman yang panjang, sentimental yang cukup tinggi, mungkin beliau mahu terus kekal (dalam parti)," katanya.
Ditanya mengenai sama ada ahli yang dipecat boleh menghadiri PAU 2023 minggu depan, Asyraf Wajdi berkata UMNO tidak pernah menghalang mereka untuk datang ke Dewan Merdeka (Pusat Dagangan Dunia).
"(Bagaimanapun) sudah tentu hanya perwakilan saja (yang boleh menghadiri perhimpunan)," katanya.