Khamis, 1 Jun 2023 | 12:07am
Gambar fail, Pemimpin Pembangkang Kemboja, Sam Rainsy ditemui media selepas perjumpaan dengan pemimpin kerajaan, di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada 2019. - Foto NSTP/SYARAFIQ ABD SAMAD.
Gambar fail, Pemimpin Pembangkang Kemboja, Sam Rainsy ditemui media selepas perjumpaan dengan pemimpin kerajaan, di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada 2019. - Foto NSTP/SYARAFIQ ABD SAMAD.

Sam Rainsy sudah tinggalkan Malaysia - Wisma Putra

KUALA LUMPUR: Bekas ketua pembangkang Kemboja, Sam Rainsy, sudah meninggalkan Malaysia, hari ini.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan malam ini menjelaskan, kehadiran Rainsy di negara ini tidak berada dalam pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tiada sebarang program awam diadakan sepanjang keberadaan Rainsy di sini," kata kenyataan itu.

Rainsy dilaporkan diusir dari negara ini selepas beliau dan rombongannya dihalang daripada mengadakan mesyuarat di ibu negara.

Menurut laporan akhbar Kemboja Khmer Times, Rainsy datang ke negara ini menggunakan pesawat peribadi dan pasport Perancis.

Langkah itu dipercayai bagi membolehkannya masuk tanpa penelitian pihak berkuasa Malaysia.

Rainsy dikatakan ingin bermesyuarat di Kuala Lumpur semalam bersama beberapa pemimpin daripada partinya yang diharamkan di Kemboja, namun dihalang berbuat demikian oleh pihak berkuasa.

Laporan portal itu turut memetik penghargaan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, terhadap Anwar atas tindakan itu.

"Anwar pernah memberi jaminan tidak akan membenarkan Rainsy menjejakkan kaki ke Malaysia. Saya amat menghargai tindakan Malaysia mengusir Rainsy," katanya dalam laporan itu.

Berita Harian X