KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil mempersoalkan tindakan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang secara tiba-tiba menyatakan minat untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.
Isham mendakwa, tindakan itu berkemungkinan Perikatan Nasional (PN) tidak lagi tahan menjadi pembangkang serta khuatir sekiranya kes mereka akan dibuka seterusnya menjadi kluster mahkamah.
"Kepada Haji Hadi, dalam negara perlu ada pembangkang, jika tidak, tidak ada semak imbang. Jangan takut jadi pembangkang.
"Jika ada kes, hadap sahaja di mahkamah. Orang UMNO pun sudah ramai naik turun mahkamah. Jika tidak bersalah bersihkan nama.
"Jika bersalah terimalah kifarah. Apa-apapun jangan aniaya orang. Jika banyak sangat yang tersirat, tersurat dan muslihat, lama-lama sendiri yang terjerat," katanya dalam Facebook hari ini.
Sebelum ini, Abdul Hadi mendakwa terdapat beberapa orang dalam kerajaan menghubunginya serta menawarkan partinya untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.
Ahli Parlimen Marang itu dilaporkan berkata, tawaran itu muncul kerana Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR menyedari kedudukannya tidak kukuh, apatah lagi jumlah kerusi Melayu parti berkenaan tidak sebanyak PAS.
Beliau berkata, pihaknya kini sememangnya terbuka dengan mana-mana tawaran oleh sesiapa pun tetapi tawaran berkenaan mesti tidak lari daripada prinsip, matlamat dan hala tuju PAS.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan berhubung tawaran yang dibuat beberapa pemimpin PH kepada PAS bagi menyertai kerajaannya.
Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, perkara itu tidak pernah dimaklumkan dan sampai ke pengetahuan beliau.
Malah Ahli Parlimen Tambun itu memaklumkan, perkara seumpama itu juga tidak pernah dibincangkan antara PH dan juga Barisan Nasional (BN).
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Isham berkata selepas Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, beliau sudah mencadangkan kepada PN untuk berbincang dengan Anwar bagi membentuk kerajaan.
Bagaimanapun, Isham menyatakan pihak berkenaan tidak mahu untuk membentuk kerajaan bersama kepemimpinan Anwar seterusnya ingkar titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
"Ketika itu saya cadang supaya BN jadi pembangkang. Bila PN sombong dan tolak untuk bentuk kerajaan, kita (BN) pula kena bentuk kerajaan dengan PH dan kita akur titah YDP Agong, sebab jika tiada kerajaan dapat dibentuk dan keadaan politik dan ekonomi akan jadi lebih teruk," katanya.