Selasa, 30 Mei 2023 | 8:59pm
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang Undang), Ramkarpal Singh
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang Undang), Ramkarpal Singh

Dakwaan Pulau Pinang milik Kedah tidak berasas - Ramkarpal

KUALA LUMPUR: Dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Pulau Pinang adalah kepunyaan Kedah disifatkan tidak berasas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, berdasarkan The Federation of Malaya Agreement 1957, ia amat jelas menyatakan Pulau Pinang sudah dijadikan sebahagian daripada Persekutuan Malaya sebagai sebuah negeri yang berasingan daripada Kedah.

"Pembentukan Persekutuan Malaya itu berdasarkan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 dan tidak boleh dinafikan bahawa Pulau Pinang diiktirafkan sebagai salah satu negeri di bawah Persekutuan Malaya, iaitu di bawah Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

"Selain itu, Perkara 71(1) Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan juga menjamin bahawa setiap negeri mempunyai Perlembagaan Negeri masing-masing yang memperuntukkan cara pengendalian Kerajaan Negeri, termasuk Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Sanusi menegaskan, Pulau Pinang adalah milik Kedah dan negeri jelapang padi itu hanya mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis sahaja.

Dalam pada itu Ramkarpal berkata, perkara berkenaan sepatutnya tidak menjadi isu kerana ia sudah jelas sejak zaman penjajahan British lagi dengan beberapa perjanjian juga sudah dimeterai bersama Kedah dan mengiktiraf Pulau Mutiara itu sebagai negeri berdaulat.

"Perjanjian berkenaan termasuklah Agreement between His Britannic Majesty's Government and the State of Kedah, 1923; The Federation of Malaya Agreement 1948 dan The Federation of Malaya Agreement 1957.

"Selanjutnya, terdapat juga peruntukan yang lain dalam Perlembagaan Persekutuan serta menjurus kepada negeri Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang berdaulat.

"Perlu diberikan perhatian bahawa sejak pembentukan Persekutuan Malaya dan kemudian Persekutuan Malaysia, tiada sebarang bantahan yang pernah dibangkitkan oleh mana-mana pihak termasuk Kerajaan Kedah bahawa Pulau Pinang adalah dimiliki oleh Kedah.

"Justeru, adalah amat jelas bahawa Pulau Pinang adalah negeri yang berdaulat dalam Persekutuan Malaysia dan bahawa keabsahannya tidak boleh dipertikaikan," katanya.

Beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang yang tertinggi negara dan seharusnya dihormati oleh semua lapisan masyarakat.

Berita Harian X