Selasa, 30 Mei 2023 | 6:19pm
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa bercakap pada Taklimat Media berhubung Kertas Putih Kesihatan hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa bercakap pada Taklimat Media berhubung Kertas Putih Kesihatan hari ini. - Foto BERNAMA

KKM semak semula pengisytiharan kawasan jangkitan COVID-19

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyemak semula pengisytiharan kawasan tempat jangkitan COVID-19 di Malaysia pada pertengahan Jun ini bagi menilai tahap risiko jangkitannya.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata langkah itu dibuat bagi membolehkan KKM menilai hala tuju, seterusnya mengambil kira garis panduan dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Sekarang, memang negara kita masih belum masuk fasa endemik. Kita masih dalam peringkat transisi (peralihan ke endemik). Walaupun WHO sudah umumkan Kecemasan Kesihatan Awam bagi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC) berakhir, tetapi disebabkan negara kita masih lagi ada (jangkitan) khususnya pada hari raya, di mana ada peningkatan sedikit walaupun masih terkawal.

"Malaysia, kita masih kekalkan kawasan jangkitan tempatan yang akan berakhir pada Jun. Pada akhir Jun, akan nilai balik keadaan itu dan kita akan melihat garis panduan oleh WHO," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat Kertas Putih Kesihatan (KPK) bersama media di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini, hari ini.

Pada 5 Mei lalu media melaporkan COVID-19 tidak lagi dikategorikan sebagai kecemasan kesihatan global oleh WHO.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, dilaporkan berkata beliau mendapat saranan untuk menamatkan status PHEIC dan bersetuju untuk menerima nasihat itu.

WHO sebelum ini mengisytiharkan COVID-19 sebagai darurat kecemasan awam pada Januari 2020, kira-kira enam minggu selepas virus melanda.

Status itu membolehkan masyarakat antarabangsa memberi tumpuan kepada ancaman kesihatan itu, di samping mempertingkatkan kerjasama bagi menghasilkan vaksin dan rawatan.

Berita Harian X