KUALA LUMPUR: Sambutan menggalakkan dalam kalangan orang muda yang membanjiri Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023, di sini, sekali gus menjadi pengunjung utama menunjukkan acara tahunan itu kekal relevan dengan minat membaca golongan itu masih menebal termasuk bagi karya ilmiah.
Kebanyakan penerbit buku yang menyertai PBAKL 2023 yang masuk hari kelima hari ini turut melihat gelombang generasi muda banyak membantu jualan buku di reruai masing-masing.
Bagi penulis dan penerbit, Abdul Latip Talib, yang memberi fokus kepada karya novel sejarah Islam, walaupun naskhah keluarannya berada dalam kategori buku ilmiah berat, ia masih mendapat sambutan menggalakkan daripada generasi muda.
"Hari pertama, jualan agak kurang tetapi saya tidak sangka apabila hari kedua hinggalah hari ini (hari kelima), pengunjung yang membuat pembelian buku makin ramai, malah jualan setakat ini sudah melepasi PBAKL tahun lalu.
"Kalau nak kata anak muda tak membaca, rasanya tidak. Saya ada ramai pembaca setia dalam kalangan orang muda, terutama mahasiswa. Mereka ini bukan pembaca baharu sebaliknya baca karya saya sejak sekolah rendah, malah ada yang beritahu dulu hanya mampu pinjam (buku) di perpustakaan.
"Saya yakin orang muda masih membaca jika karya itu menarik. Disebabkan itu juga saya menulis karya sejarah dalam bentuk novel kerana ia selari dengan cita rasa anak muda," katanya ketika ditemui di reruainya di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Abdul Latip turut berpandangan, penerbit dan penulis sepatutnya mengkaji dan meneliti kehendak semasa pasaran bagi memastikan buku keluaran mereka terjual dan mendapat tempat khususnya dalam kalangan generasi muda.
Sementara itu, penerbit Jejak Tarbiah, Nuraidah Abdul Hamid, turut memberi pandangan senada dengan melihat platform PBAKL, satu daripada medium penting bagi memperkenalkan karya ilmiah baharu kepada lebih ramai anak muda.
"Tak dinafikan, anak muda ramai yang minat kepada genre komik. Namun, sebagai penerbit, inilah tanggungjawab kita untuk memberikan pilihan kepada pembaca. Umpamanya, antara karya keluaran kami boleh dikategorikan sebagai separa ilmiah, ia masih berat tetapi digarap supaya memudahkan pembaca terutama generasi muda menghayatinya, selain ada naskhah yang selari dengan trend semasa iaitu puisi pendek, nota ringkas dan petikan bertemakan terapi jiwa.
"Ini memang buku pilihan anak muda sekarang dan kami lihat tak salah untuk mengikut pilihan mereka, tetapi dalam masa sama naskhah ilmiah berat tetap diterbitkan dengan harapan kemudiannya mereka akan turut membaca karya lain," katanya.
Sementara itu, bekas Menteri Pendidikan, Prof Dr Maszlee Malik, yang turut menyertai PBAKL 2023 menerusi reruainya, Kedai Dr Maszlee, berkata masyarakat termasuk generasi muda diakui masih meneruskan amalan membaca, cuma yang dikhuatiri ketika ini adalah kualiti bahan bacaannya.
Menurutnya, selain meneruskan program pemupukan membaca seperti PBAKL dan kempen membaca, elemen lain yang tidak kurang penting adalah mewujudkan masyarakat yang mempunyai pemikiran sentiasa ingin mengkaji dan berfikiran kritikal.
"Pada saya, buku akan sentiasa ada pembacanya, jika tidak membaca melalui buku fizikal, mereka baca sesuatu di media sosial, media dan lain-lain. Tapi apa yang lebih penting adalah membina akal yang sentiasa ingin menyelidik dan kritikal. Dua perkara ini kalau tak berjaya dicapai, akan menyebabkan membaca itu hanya jadi salah satu daripada aktiviti kehidupan sahaja, tidak menjadi batu loncatan kepada pembangunan ketamadunan itu sendiri," katanya.
Justeru, katanya, peranan guru di sekolah dan media antara lain dilihat pemangkin kepada budaya membaca yang boleh memandaikan bangsa, sekali gus mengelakkan masyarakat daripada terutama generasi baharu daripada menjadi mangsa termasuk berita palsu, fitnah, perkauman dan jenayah.
PBAKL 2023 yang berakhir Ahad ini menampilkan pelbagai elemen baharu untuk pengunjung, ini termasuk Program Pembelian Sekolah VIP yang memudahkan tempahan naskhah secara pukal terutama dalam kalangan guru sekolah, mewujudkan ruang mandiri iaitu seksyen khas bagi penulis persendirian yang menerbitkan buku sendiri, pembikin zine, illustrator, dan pengusaha buku foto.