Selasa, 30 Mei 2023 | 3:21pm
Mohd Rani (tiga dari kanan) pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Van-hailing di Stesen KTM Subang Jaya, di sini hari ini. - NSTP/Essa Abu Yamin
Mohd Rani (tiga dari kanan) pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Van-hailing di Stesen KTM Subang Jaya, di sini hari ini. - NSTP/Essa Abu Yamin

Tawaran tambang van-hailing RM1 ke Stesen KTMB tarik lebih ramai pengguna tren

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yakin kerjasama syarikat itu dengan penyedia perkhidmatan van-hailing Kumpool dengan tambang promosi serendah RM1 mampu menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam terutamanya rel.

Melalui kerjasama itu, pengguna KTM Komuter, perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Intercity boleh menggunakan perkhidmatan van-hailing itu ke stesen KTM dari destinasi ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin, berkata pengguna perlu memuat turun aplikasi 'Kumpool Ride' dalam telefon pintar untuk proses menempah dan hanya membayar RM1 untuk jarak kawasan radius lima kilometer (km).

"Dengan jalinan kerjasama berkenaan, penumpang perkhidmatan KTM Komuter, perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Intercity dapat menikmati harga tambang yang sangat berpatutan dari destinasi yang ditetapkan untuk ke stesen-stesen KTMB.

"Kolaborasi itu bertujuan menyediakan pilihan perkhidmatan pengangkutan yang lebih mudah, cepat dan fleksibel kepada penumpang KTMB yang ditempah melalui aplikasi 'Kumpool Ride' untuk ke stesen yang terpilih," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Perkhidmatan Van-hailing di Stesen KTM Subang Jaya, di sini hari ini.

Mohd Rani berkata, perkhidmatan itu berfungsi seperti perkhidmatan shuttle atas-permintaan dengan mengumpulkan tempahan para penumpang yang membabitkan perjalanan berdasarkan laluan mengambil dan menurunkan semua penumpang dalam masa yang sama untuk ke destinasi yang dituju.

"Sebagai permulaan, Stesen KTM Subang Jaya dipilih sebagai projek perintis yang pertama di Lembah Klang yang mempunyai jumlah penumpang perkhidmatan KTM Komuter seramai 48,000 orang sebulan.

"Fasa seterusnya akan diperkenalkan di Stesen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada awal Julai tahun ini. Perancangan seterusnya akan diperluaskan ke Wilayah Selatan," katanya.

Jelas beliau, pihak KTMB akan memantau dan menilai hasil daripada pembuktian konsep (POC), serta akan terus merangka strategi penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan awam sebagai pengangkutan utama yang lebih mudah daripada penggunaan kenderaan persendirian dengan meluaskan kerjasama dengan penyedia perkhidmatan pihak ketiga.

"Kerjasama itu juga memperlihatkan komitmen KTMB dalam memperkenalkan lebih penyelesaian secara inovatif kepada pengangkutan awam yang bertepatan dengan keperluan semasa masyarakat.

"Dengan penggunaan teknologi terkini dan pendekatan yang progresif, KTMB dan Kumpool ingin menyumbang kepada transformasi pengangkutan negara.

"Selain daripada mewujudkan kerjasama dan rangkaian perkhidmatan dengan pihak berkuasa tempatan serta pengusaha bas dan teksi, Kumpool memberikan satu lagi pilihan tambahan yang menarik dan memudahkan pengguna menerusi konsep 'First and Last Mile Connectivity'," katanya.

Katanya, KTMB sentiasa mengalu-alukan kerjasama strategik bersama syarikat pengangkutan e-hailing dan van-hailing kerana platform seperti itu semakin menjadi pilihan dalam kalangan pengguna.

"Dengan promosi seperti itu ia membantu merancakkan sistem pengangkutan awam di negara kita seterusnya menggalakkan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam, terutamanya pengangkutan rel," katanya.

Berita Harian X