KUALA LUMPur: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mempertimbang keperluan mengambil jururawat dari luar negara bagi memenuhi keperluan hospital swasta yang mengalami masalah kekurangan jururawat.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa, berkata pihaknya sedang memperhalusi isu dibangkitkan Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) dan mengadakan lebih banyak libat urus dengan sektor berkenaan.
"Memang perkara itu dalam makluman KKM. Kita sedang memperhalusi perkara itu dan melihat bagaimana kita boleh lakukan untuk bantu sektor swasta memenuhi keperluan mereka.
"Kita kena buat libat urus bukan sekali, tetapi beberapa kali untuk melihat beberapa perkara membabitkan pengambilan atau keperluan jururawat dari luar untuk membantu sektor swasta meningkatkan perkhidmatan mereka," katanya selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Penjagaan Kesihatan Antarabangsa anjuran APHM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Turut hadir, Presiden APHM, Datuk Dr Kuljit Singh.
Sementara itu, Kuljit berkata, hospital swasta mengalami isu kekurangan jururawat yang serius walaupun menerima permintaan tinggi, namun dengan pengambilan jururawat luar akan membolehkan mereka menampung lebih ramai pesakit, sekali gus membantu kerajaan.
"Dalam tinjauan dibuat APHM pada November 2022 hasil maklum balas daripada 103 hospital, kita memerlukan kira-kira 9,224 jururawat tambahan pada tahun ini hingga 2025.
"Hospital swasta berminat mengambil jururawat yang mendapat latihan di luar negara dan kita sudah membincangkan perkara ini dengan Bahagian Kejururawatan KKM dan meminta pengecualian kepada Klausa 5 garis panduan mengenai pengambilan jururawat asing.
"Kami hanya meminta dua hingga tiga tahun untuk mengisi kekosongan sebelum sekolah kejururawatan tempatan dapat memenuhi permintaan," katanya.