Selasa, 30 Mei 2023 | 11:32am

Inisiatif produk SUKA bantu sokong pemulihan klien AADK

PADANG BESAR: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menyasarkan jualan pelbagai produk dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh klien Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) RM500,000 setahun, menerusi inisiatif produk Sokongan Untuk Kepulihan Anda atau SUKA.

Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon berkata, penjenamaan produk SUKA itu adalah satu daripada sembilan komponen yang ada dalam Model i-Pulih AADK iaitu latihan kemahiran dan vokasional dengan mendedahkan klien dengan ilmu kemahiran berasaskan empat bidang iaitu pertanian, perkhidmatan, pembuatan dan penternakan.

"Setiap pembelian orang ramai menerusi produk SUKA ini adalah sebagai satu daripada bentuk sokongan dan terapi pengekalan kepulihan klien AADK sepanjang hayat.

"Antara produk SUKA yang dihasilkan setakat ini ialah Titi Gold Tart Nanas, Tart Roselle, Kopi Agenda, Madu Kelulut, kimpalan, penanaman cili dan penternakan lembu di mana bagi semua produk ini kita menyasarkan hasil sebanyak RM500,000 setahun.

"Sasaran ini akan dimulakan secara berperingkat dan hasil yang diperoleh menerusi produk SUKA ini juga akan dinikmati oleh klien kerana ini adalah hasil tangan serta keringat mereka sendiri hasilkan ketika menjalani rawatan pemulihan di fasiliti kami di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bersama Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merasmikan inisiatif produk SUKA di PUSPEN Bukit Chabang, Beseri, di sini hari ini bersempena dengan Sambutan Hari Terbuka AADK 2023.

Turut hadir adalah Timbalan Ketua Pengarah AADK (Pengurusan), Chan Hong Jin dan Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Siti Mariam Mursidan.

Dalam sambutan hari terbuka itu juga, pelbagai produk pertanian, makanan dan kraftangan yang dihasilkan sendiri oleh klien Puspen dari seluruh negara serta dipamerkan serta dijual bagi menyokong usaha pemulihan klien Puspen sebelum mereka kembali semula kepada keluarga dan berada dalam kalangan masyarakat.

Katanya, terdapat 6,000 klien di 30 PUSPEN seluruh negara ketika ini yang menjalani rawatan pemulihan ketagihan dadah.

"Sebelum penjenamaan produk Suka ini, kita (AADK) melihat ribuan klien kita dari seluruh negara berjaya keluar dari gejala penagihan dadah ini dan berdikari dengan menghasilkan pelbagai produk makanan atau pertanian serta perkhidmatan kepada masyarakat.

"Oleh itu, usaha ini diwujudkan sebagai satu inisiatif AADK dalam memberi sokongan kepada klien sebagai persediaan dari segi kemahiran dan pengalaman sebelum menempatkan diri dalam industri dan masyarakat selepas tamat menjalani Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI).

"Selain itu, melalui jenama dan logo produk SUKA, ia juga dilihat mampu menyokong kebolehpasaran pekerjaan klien, mengurangkan risiko penagihan semula klien sekali gus memberi keyakinan terhadap kemampuan klien untuk kekal pulih," katanya.

Produk SUKA dijangka menemui masyarakat melalui pemasaran di platform pasar tempatan serta menerusi penjualan dalam talian (online) selepas ini.

Terdahulu, dalam program berkenaan juga, baginda berkenan mengadakan kayuhan basikal menerusi Program 'Healthy Ride' bersama Sutekno serta pegawai AADK yang lain dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Malah, baginda turut melakukan lawatan ke rumah Klien AADK di FELCRA Lubok Sireh, Titi Tinggi, Padang Besar selain mengurniakan bantuan kepada asnaf di Masjid Kampung Cantik, Padang Besar.

Sutekno (kiri) bersama Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) melancarkan inisiatif produk SUKA di PUSPEN Bukit Chabang, Padang Besar. - Foto AIZAT SHARIF
Sutekno (kiri) bersama Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) melancarkan inisiatif produk SUKA di PUSPEN Bukit Chabang, Padang Besar. - Foto AIZAT SHARIF
Berita Harian X