KUALA LUMPUR: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ke-40 yang sedang berlangsung di sini, sejak Jumaat lalu, membuka peluang kepada penerbit termasuk luar negara mencipta peluang baharu khususnya melalui transaksi jualan hak cipta dan penerbitan karya terjemahan.
Potensi itu diperluaskan lagi dengan penyertaan gergasi buku dunia, China yang dijemput sebagai Negara Tamu buat julung kalinya pada program yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) itu.
Satu daripada penerbit buku China yang menyertai PBAKL 2023, SDX Joint Publishing, melihat kepesatan industri perbukuan Malaysia-China wajar diterokai melalui kerjasama strategik secara lebih meluas.
"Kami melihat penyertaan China sebagai Negara Tamu sebagai satu penghormatan besar, ditambah pula kami adalah negara pertama yang dijemput dalam acara perbukuan terbesar di negara ini.
"Seramai 100 delegasi China, membabitkan lebih 30 penerbit buku (menyertainya) dengan harapan supaya PBAKL dapat menjadi jambatan kerjasama yang lebih erat di antara dua negara," kata wakilnya, Tong Xing ketika ditemui di tapak PBAKL 2023 di WTC), di sini, hari ini.
Tong Xing berkata peluang terjemahan karya antara yang dilihat paling berpotensi, dengan mengambil kira kebudayaan China-Malaysia yang mempunyai banyak persamaan.
"Walaupun pertama kali menjejakkan kaki ke PBAKL 2023, tetapi kami, delegasi China merasakan amat dialu-alukan. Ramai penerbit buku Malaysia yang datang untuk berkongsi pandangan dan menyuarakan hasrat mengenai kolaborasi pada masa depan.
"Setakat ini, terjemahan karya Malaysia-China masih tidak begitu banyak. Jadi inilah peluang yang ada untuk kami merangka projek terjemahan terutama membabitkan karya sastera agung kedua-dua negara," katanya.
Pelbagai pengisian akan dikendalikan Malaysia-China sepanjang PBAKL 2023, ini termasuk sesi bersama penulis, aktiviti kebudayaan dan perjumpaan bersama penerbit tempatan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan), Pustaka Negeri Sarawak, Salina Zawawi, berkata pemilihan Sarawak sebagai Negeri Tamu membolehkan karya dan warisan negeri itu diketengahkan secara lebih meluas.
"Pustaka Negeri Sarawak membawakan pelbagai pengisian menarik untuk pengunjung PBAKL di Pavilion Sarawak. Satu daripadanya memperkenalkan naskhah terbitan kami. Buku yang diterbitkan kebanyakannya menyerlahkan keintelektualan pengarang di Sarawak khususnya berkaitan warisan dan budaya di negeri ini yang masih belum diketahui ramai.
"Antara judul yang dibawa kali ini adalah Sape: The Community Binder, iaitu mengenai alat muzik tradisi di sini dan Baney Kabo: A String of Kelabit Beads," katanya.
Mengulas lanjut, Salina berkata pembabitan Sarawak sebagai Negeri Tamu turut signifikan kerana tahun ini genap 60 tahun negeri itu menjadi sebahagian daripada Malaysia.
"Jadi, dapatlah kami menggunakan platform ini bagi memartabatkan industri kreatif di Sarawak termasuk mengajak pengunjung mengenali warisan budaya, buku dan pelancongannya.
"Malah, melalui kerjasama dengan pelbagai agensi berkaitan, kami turut memberikan pencerahan mengenai peluang peluang pendidikan dan biasiswa yang ditawarkan oleh institusi pendidikan di sini, selain menyediakan aktiviti kebudayaan dan kuiz yang dijalankan setiap hari," katanya.
PBAKL 2023 berlangsung selama 10 hari sehingga Ahad ini. Pesta buku terbesar di Malaysia itu bermula sejak 1981 dengan membabitkan penyertaan penerbit buku dari dalam dan luar negara merangkumi 815 reruai dan 213 pempamer.