Isnin, 29 Mei 2023 | 3:29pm
Khairy (kanan) mengemukakan saman fitnah terhadap Jamal berhubung satu kenyataan media pada Perhimpunan Agung UMNO 2022, Januari lalu. - Foto NSTP
Khairy (kanan) mengemukakan saman fitnah terhadap Jamal berhubung satu kenyataan media pada Perhimpunan Agung UMNO 2022, Januari lalu. - Foto NSTP

KJ fail saman fitnah RM1 juta terhadap Jamal Yunos

KUALA LUMPUR: Khairy Jamaluddin mengemukakan saman fitnah terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berhubung satu kenyataan media pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, Januari lalu.

Sidang media itu berhubung dakwaan UMNO mengimport perwakilan daripada luar yang bukan perwakilan untuk mengundi usul supaya jawatan nombor satu dan nombor dua tidak dipertandingkan.

Khairy yang memfailkan writ saman itu pada 24 Mei lalu melalui firma guaman Tetuan Aizat Izuan Shakeel, menuntut ganti rugi khas RM1 juta, ganti rugi am, perintah supaya Jamal menerbitkan permohonan maaf di akaun Facebook dan Tiktoknya serta dalam akhbar utama Melayu, Inggeris dan Cina.

Dalam pernyataan tuntutannya, Khairy berkata pada PAU 2022 diadakan 14 Januari lalu, Jamal mengadakan sidang media di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC) yang dihadiri pengamal media, perwakilan UMNO dan beberapa ahli serta pemimpin UMNO.

Pada hari sama, Khairy berkata, Jamal melalui akaun Facebook di bawah nama "DS Jamal Yunos (DS Jamal Yunos Official)" memuat naik suatu rakaman video sidang video itu bertajuk "Saya harap Khairy Jamaluddin dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO selepas mengeluarkan kenyataan yang semborono dan memalukan UMNO #UmnoDuluKiniDanSelamanya."

Katanya, Jamal juga memuat naik rakaman sama melalui akaun media sosial TikTok di bawah nama pengguna ''jamal_yunos''.

Khairy berkata, kenyataan berbaur fitnah itu antaranya membawa maksud, beliau pemimpin yang tiada integriti; seorang individu yang tiada kredibiliti untuk memimpin dan terbabit atau melakukan jenayah rasuah.

Katanya, ia turut membawa maksud beliau melaksanakan dan menerapkan pendekatan rasuah untuk menimbulkan perpecahan dalam kalangan ahli parti demi kepentingan peribadi dan tidak layak menjadi seorang pemimpin serta tidak setia kepada parti serta pemimpin parti.

Mahkamah Tinggi menetapkan esok bagi pengurusan kes berkenaan di hadapan Hakim Timbalan Pendaftar Nik Nur Amalina Mat Zaidan.

Berita Harian X