Isnin, 29 Mei 2023 | 2:54pm

Derita empat tahun berakhir, Kamareeah temui pencipta

KOTA BHARU: Selepas empat tahun koma, Kamareeah Arwae yang menghidap tumor di kepala akhirnya menghembuskan nafas terakhir pagi tadi.

Kamareeah, 40, meninggal dunia di sisi suaminya, Fairol Haziri Rahim, 48, jam 4 pagi, meninggalkan sepasang cahaya mata berusia empat dan enam tahun.

Fairol Haziri berkata, isterinya baru lima hari dibenarkan keluar hospital selepas hampir sebulan dirawat disebabkan banyak komplikasi yang dialami.

"Isteri dibenarkan pulang ke rumah Rabu lalu dan doktor memaklumkan keadaannya semakin baik namun hati saya tidak berasa enak dan rasa 'masanya' sudah tidak lama.

"Tengah malam tadi saya sempat memberikannya susu dan tiada perubahan ketara dilihat sebelum saya perasan keadaannya yang sedikit berlainan dan menyentuh kulitnya yang sudah dingin.

"Saya cuba memeriksa nadinya dan menyedari ia semakin perlahan menyebabkan saya segera mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum tidak lama kemudian, nadinya semakin tiada," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kedai Buloh, di sini, hari ini.

Allahyarham Kamareeah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cabang Tiga Kedai Buloh jam 2.15 petang.

Kisah wanita itu mendapat liputan meluas apabila dikesan mengandung dua bulan ketika koma akibat tumor di kepala dan janin itu terus membesar sebelum bersalin secara pembedahan ketika kandungan mencecah tujuh bulan.

Bayi perempuan yang dilahirkan dan pernah digelar 'bayi ajaib' dinamakan Farah Hanis Fairol Haziri dan kini sudah berusia empat tahun.

Fairol Haziri berkata, seorang lagi cahaya mata hasil perkongsian hidupnya bersama Kamareeah, Farras Hazim, 6 tahun dan berada di bawah jagaannya.

"Sepanjang isteri sakit, Farah Hanis dijaga sepupu tidak jauh dari rumah namun kerap dibawa menjenguk kami memandangkan saya tidak boleh meninggalkan isteri yang sememangnya bergantung kepada saya," katanya.

Fairol Haziri memberi susu ketika menjaga Kamareeah di rumahnya di Kampung Kedai Buloh, di Kota Bharu. - Foto fail NSTP/Siti Rohana Idris
Fairol Haziri memberi susu ketika menjaga Kamareeah di rumahnya di Kampung Kedai Buloh, di Kota Bharu. - Foto fail NSTP/Siti Rohana Idris

Fairol Haziri berkata, selepas ini anak bongsunya itu mungkin kekal di bawah jagaan sepupu memandangkan dia masih perlu menyesuaikan diri dengan suasana baharu tanpa isteri yang harus dijaga dan dalam masa yang sama akan kembali bekerja.

Dia berkata, sepanjang empat tahun menguruskan isteri, dia tidak boleh bekerja dan hanya mengharapkan bantuan dan ehsan orang ramai serta kenalan yang menghulurkan sumbangan bagi kos rawatan isteri.

"Sepanjang empat tahun menjaganya, saya langsung tidak rasa satu bebanan malah cukup berpuas hati kerana dapat mengurusnya sehabis baik.

"Selepas ini saya akan menumpukan sepenuh perhatian kepada dua cahaya mata kami ini selain kembali bekerja untuk menyara hidup kami bertiga," katanya.

Fairol Haziri Rahim, 48, di pusara isterinya, Kamareeah Arwae, 40, yang meninggal dunia pagi tadi selepas koma empat tahun akibat tumor di kepala. - Foto NSTP/Siti Rohana Idris
Fairol Haziri Rahim, 48, di pusara isterinya, Kamareeah Arwae, 40, yang meninggal dunia pagi tadi selepas koma empat tahun akibat tumor di kepala. - Foto NSTP/Siti Rohana Idris
Berita Harian X