KUALA TERENGGANU: Pelajar Kolej Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) meminta orang ramai yang bercadang menghulurkan bantuan kewangan bagi menampung pengajiannya menyalurkan sumbangan kepada pelajar lain.
Ainun Mardiah Mat LazimAinun Mardiah Mat Lazim, 19, dari Kampung Bukit Ara, Ajil, pelajar dalam bidang diploma pendidikan kanak-kanak yang terpaksa meninggalkan pengajian disebabkan keluarga menghadapi kekangan kewangan, berkata bantuan dihulurkan orang ramai kepadanya sudah mencukupi untuk meneruskan pengajian.
"Jika ada orang perseorangan atau syarikat yang berhasrat untuk terus memberi sumbangan kepada saya, dicadangkan menyalurkan bantuan kepada pelajar lain yang turut menghadapi kekangan kewangan," katanya.
Ainun Mardiah dan ibunya, Roslindawati Abd Rahman, 45, ditemui pada majlis perasmian Dana Sumbangan Yayasan Pendidikan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), di sini, hari ini.
Majlis perasmian Yayasan Pendidikan MAIDAM dirasmikan Yang Dipertuan Muda negeri, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail, Setiausaha Kerajaan negeri.
Pada Selasa lalu, dilaporkan Ainun Mardiah yang juga anak sulung kepada Mat Lazim Jusoh, 50, dan Roslindawati terpaksa keluar daripada asrama sejak 27 Mac lalu berikutan ketiadaan wang belanja harianketiadaan wang belanja harian untuk makan dan minum.
Ainun Mardiah berkata, sejak kisahnya disalurkan, pelbagai pihak termasuk pengurusan Kolej Ketengah ke kediamannya menyalurkan bantuan kewangan.
"Setakat ini bantuan disumbangkan orang ramai sudah mencukupi untuk membiayai pengajian, saya minta orang ramai menghentikan menyalurkan bantuan kepada saya dan mencadangkan agar bantuan itu disalurkan kepada pelajar lain yang senasib dengan saya.
"Yayasan Pendidikan MAIDAM juga akan menyalurkan bantuan bulanan sebanyak RM450 dan pengurusan Kolej Ketengah turut menyediakan makanan percuma selain wang perbelanjaan harian sepanjang kita berada di asrama," katanya.