Ahad, 28 Mei 2023 | 4:06pm
Datuk Seri Ahmad Maslan beramah mesra bersama ahli Belia 4B pada Majlis Perhimpunan Agung Tahanan Belia 4B kali ke-42 dan 43 di Mahsa University, Kuala Langat. - NSTP/GENES GULITAH
Datuk Seri Ahmad Maslan beramah mesra bersama ahli Belia 4B pada Majlis Perhimpunan Agung Tahanan Belia 4B kali ke-42 dan 43 di Mahsa University, Kuala Langat. - NSTP/GENES GULITAH

Ahmad Maslan saran jadikan pendidikan keusahawanan subjek teras sekolah menengah

KUALA LANGAT: Pendidikan keusahawanan wajar diperkenal dan dijadikan subjek teras di peringkat sekolah menengah dalam usaha mewujudkan 'bangsa usahawan' dalam kalangan belia.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, beliau ada membangkitkan perkara itu pada mesyuarat Majlis Pekerjaan Negara (MPN) dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, minggu lalu.

Katanya, beliau mencadangkan kurikulum sekolah menengah diubah dengan memasukkan subjek keusahawanan yang wajar dijadikan subjek bersendiri sebagaimana subjek lain untuk kurikulum Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima.

"Statistik merekodkan hanya 40 peratus daripada 500,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian ke Tingkatan Enam, institusi pengajian tinggi (IPT) dan sertai Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) setiap tahun.

"Jumlah itu menunjukkan bahawa sekitar 300,000 daripada mereka yang tidak melanjutkan pelajaran mungkin bekerja dalam sektor kilang atau 'e-hailing', sekali gus memenuhi kelompok golongan B40 di negara ini.

"Kita tidak mahu itu terus berlaku, sekali gus keusahawanan perlu menjadi subjek teras sekolah menengah dalam usaha melahirkan usahawan berpendapatan tinggi," katanya.

Memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Agung Tahunan Gerakan Belia 4B Malaysia (Belia 4B) kali ke-42 dan 43 di Universiti MAHSA di sini hari ini, Ahmad berkata, subjek itu perlu merentas kurikulum sekolah dan ditetapkan khusus seperti subjek lain.

"Usahawan perlu ada ilmu perniagaan lebih meluas dan kaedah pemasaran efektif bagi mencapai kejayaan. Lebih ramai usahawan, lebih mudah sesebuah negara itu maju," katanya menambah kerajaan turut memperuntukkan RM40 bilion kemudahan pembiayaan pinjaman kepada usahawan.

Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempertimbangkan cadangan berkenaan.

Pada majlis berkenaan, beliau turut mengumumkan peruntukan daripada Kementerian Kewangan sebanyak RM150,000 kepada Belia 4B untuk menjalankan program berkaitan keusahawanan kepada kumpulan sasar di negara ini.

Berita Harian X