Ahad, 28 Mei 2023 | 3:37pm
Pengunjung hadir Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di World Trade Centre (WTC). - Foto NSTP/FATHIL ASRI.
Pengunjung hadir Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di World Trade Centre (WTC). - Foto NSTP/FATHIL ASRI.

PBAKL 2023 dapat sambutan luar biasa

KUALA LUMPUR: Kehadiran luar biasa pengunjung yang hadir pada hari pertama dan kedua Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 Ke-40, di sini memberi petanda baik terhadap usaha menarik lebih ramai pembaca baharu khususnya anak muda.

Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron, berkata hampir 250,000 pengunjung direkodkan setakat ini, dengan jumlah itu dijangka terus meningkat dan mampu mencapai sasaran awalnya, 1.3 juta orang dalam tempoh beberapa hari sahaja lagi.

"Jumlah pengunjung untuk dua hari lalu melebihi sasaran tahun lepas, ia mencatatkan peningkatan sebanyak 20 peratus. Pada hari pertama sahaja, jumlah pengunjung seramai 73,620 orang, berbanding 50,597 pada (hari pertama PBAKL 2022) tahun lalu.

"Semalam, PBAKL 2023 turut mencatatkan lebih ramai pengunjung iaitu 173,134 orang, malah kita lihat orang ramai teruja dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyempurnakan perasmiannya," katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Mohd Khair berkata, situasi positif itu sesuatu yang amat menggembirakan dunia perbukuan tanah air, terutama pemain industri buku yang bertungkus lumus bagi menjayakan PBAKL 2023.

"Apa yang kita lihat, pengunjung dalam kalangan anak muda yang paling ramai hadir. Mereka mengambil peluang ini untuk bertemu penulis yang digemari, malah sehingga hari ini, terdapat lebih daripada 330 juta ''view' bagi #BookTokMalaysia. Iadijadikan hashtag (tanda pagar) untuk hebahan mengenai PBAKL 2023.

"Saya fikir, strategi yang kita buat ini tepat, rupanya generasi baru ini lebih mesra media sosial. Jadi tarikan ini, salah satu yang kita bawa pada PBAKL 2023. Selain itu, apabila kita buat pertama kali membawa tiga tamu iaitu China sebagai Negara Tamu, Sarawak selaku Negeri Tamu dan Kementerian Pendidikan (Kementerian Tamu), ia juga satu tarikan baharu.

"Malah, kehadiran penulis dalam kalangan pempengaruh di media sosial dan memiliki pengikut yang ramai pada PBAKL kali ini, turut menjadi faktor sambutan hangat yang diterima sejak hari pertama," katanya.

Mohd Khair turut berkata, setakat ini, maklum balas diterima daripada 213 pempamer yang mengambil bahagian cukup memberangsangkan dengan jualan yang menggalakkan, malah ada yang sudah balik modal pada hari kedua acara itu berlangsung.

Untuk rekod, PBAKL 2023 yang berlangsung sejak Jumaat lalu hingga 4 Jun ini menampilkan 815 reruai yang disertai pempamer dari dalam dan luar negara.

PBAKL kali ini dianjurkan secara hibrid bagi tahun kedua dengan kerjasama platform e-dagang, Shopee bagi membolehkan akses meluas kepada peminat buku.

Berita Harian X