KUALA LUMPUR: PAS yakin dakwaan dilemparkan terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Perikatan Nasional (PN) berhubung sumbangan dana syarikat judi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu hanyalah fitnah semata-mata.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata perkara itu dilihat sebagai pendakwaan terpilih dan ia turut diakui pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Hassan Abdul Karim, yang sebelum ini juga tidak bersetuju dengan beberapa tindakan kerajaan hari ini.
"Tindakan kerajaan terhadap BERSATU itu tidak langsung menjejaskan hubungan kerjasama dengan PAS dalam PN kerana yakin dengan setiap laporan dibentangkan dalam mesyuarat gabungan parti.
"Memang PAS dan BERSATU terbuka, kerana itu ada gabungan PN. Ada laporan dalam mesyuarat, sebab itu saya yakin BERSATU bersih dan berterus terang. Tujuan dakwaan itu lebih kepada fitnah bukan mengikut kaedah perundangan.
"Kalau berani, mereka kena buktikanlah. Kita tidak mahu tuduhan sahaja kerana kita lihat Pakatan Harapan (PH) ini, kita lihat banyak melemparkan tuduhan dan fitnah.
"Kuasa mahkamah dihentikan, yang dah ada, cari yang baru, adakan yang baru. Apa yang disebut oleh Hassan Karim, pendakwaan secara terpilih. Dalam PKR pun ada yang tidak setuju. Dia jadi terpilih sebab tidak adil, " katanya ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Jejak Nabi Muhammad dan Syarahan Perdana di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan pihaknya tidak dapat mengesahkan dakwaan parti dalam PN menerima sumbangan daripada dana judi pada PRU15 yang lalu.
Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Pasir Mas daripada PN, Ahmad Fadhli Shaari.
Menurut Azalina, agensi anti rasuah itu menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertamanya Disember lalu.
Susulan itu, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan dakwaan Anwar itu sebagai siri pembohongan, sekali gus menjelaskan yang pihaknya telah mengambil tindakan undang-undang untuk memfailkan permohonan bagi membatalkan semua pertuduhan yang dikenakan terhadap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.